Rabu, 6 April 2022 | 12:10pm
Pemulihan pengeluaran kereta dihadkan oleh masalah kekangan global yang berterusan dalam bekalan cip semikonduktor - Foto hiasan
Pemulihan pengeluaran kereta dihadkan oleh masalah kekangan global yang berterusan dalam bekalan cip semikonduktor - Foto hiasan

Isu bekalan cip terus membelenggu industri automotif

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sedang memohon untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga akhir tahun ini berikutan masalah kekurangan cip yang masih berlaku.

Kenanga Research dalam nota penyelidikan berkata, masalah kekurangan cip mengehadkan keupayaan pengeluar kereta untuk memaksimumkan kapasiti pengeluaran mereka bagi memenuhi permintaan tertunggak yang menjangkau sehingga enam bulan untuk model tertentu.

"Bagi model tertentu, pemulihan pengeluaran kereta dihadkan oleh masalah kekangan global yang berterusan dalam bekalan cip semikonduktor.

"Pengeluar kereta mengutamakan penggunaan sumber ini dengan mengalihkan semikonduktor yang berharga ini kepada kenderaan yang paling menguntungkan seperti trak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz penuh, selain kenderaan mewah.

"Sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2022 kami adalah pada 600,000 unit (kenaikan 18 peratus) adalah sejajar dengan sasaran yang dibuat oleh MAA," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, ia menjangkakan pemulihan yang memberangsangkan jualan kereta dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pengecualian SST ke atas kenderaan penumpang termasuk SUV dan kenderaan pelbagai guna (MPV) selama enam bulan sehingga akhir Jun ini.

Katanya, ia dibuktikan daripada peningkatan jumlah tempahan tertunggak untuk model popular (sehingga enam bulan) dan pelancaran model baharu pada 2022, termasuk pelancaran model yang ditangguhkan dari 2021).

"Selain itu, pelancaran kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu akan dirangsang oleh pengecualian penuh ke atas duti import dan eksais, cukai jualan, cukai jalan dan pelepasan cukai individu sehingga RM2,500 untuk kos pembelian dan pemasangan serta yuran sewa dan langganan kemudahan pengecasan EV sehingga 31 Disember 2025 bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan," katanya.

Kenanga Research, jualan pada suku keempat 2021 melonjak kukuh, memulih ketara berbanding suku ketiga 2021 yang berdepan sekatan pergerakan selain turut disokong oleh jualan promosi akhir tahun.

"Untuk musim pelaporan prestasi kewangan suku keempat 2021, hampir semua syarikat automotif mempamerkan prestasi melebihi jangkaan membabitkan DRB-Hicom Bhd, MBM Resources Bhd, Tan Chong Motor Holdings Bhd dan UMW Holdings Bhd.

"Hanya Bermaz Auto Bhd dan Sime Darby Bhd berada dalam jangkaan kerana kami telah mengambil kira pelarasan yang mencukupi semasa semakan awal," katanya.

Ia menambah, suku pertama tahun ini dijangka bergerak lebih perlahan berikutan inventori yang lebih rendah, sebelum menjadi pantas pada suku kedua menjelang pengakhiran tempoh pengecualian SST.

"Pengeluar kereta akan bergegas untuk menyerahkan tempahan tertunggak sebelum pengecualian SST tamat menjelang Jun ini, bagi mengelakkan pengguna membatalkan tempahan," katanya.

Berita Harian X