Selasa, 5 April 2022 | 12:48pm
PERODUA mengekalkan sasaran jualan 247,000 unit untuk 2022 - Foto fail NSTP
PERODUA mengekalkan sasaran jualan 247,000 unit untuk 2022 - Foto fail NSTP

PERODUA catat prestasi jualan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: PERODUA mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama 2022 dengan 61,624 kenderaan didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata kesan daripada COVID-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun syarikat automotif itu bekerjasama dengan pembekal dan pengedar untuk mengurangkan impak berkenaan.

"Fokus kami kini adalah untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.

"PERODUA turut bersama Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes COVID-19 masih memberi kesan kepada industri," katanya dalam satu kenyataan.

Zainal Abidin berkata, industri automotif, termasuk ekosistem tempatan amat berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif pengecualian cukai jualan kerana ia mampu meraih permintaan yang tinggi, sekali gus memajukan industri di sepanjang pandemik terburuk ini berlaku.

"Pada masa ini, ekosistem automotif tempatan mulai pulih secara beransur-ansur dan lanjutan pengecualian cukai jualan adalah rangsangan yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan yang mampan terutama dalam tempoh pemulihan," kata beliau.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, PERODUA mencatatkan jualan 26,759 kenderaan, peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 24,433 unit yang dijual pada Mac 2021, manakala untuk perbandingan dengan Februari 2022, jualan Mac melonjak 53.2 peratus daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya.

Pencapaian jualan bulanan tertinggi PERODUA dicatatkan pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.

PERODUA menjangkakan suku kedua 2022 menjadi kemuncak bagi industri automotif dengan jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan itu.

"Walaupun bekalan cip semikonduktor dan COVID-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambah baik.

"Kami tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Russia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran PERODUA pada masa akan datang," katanya.

Beliau menambah, berdasarkan faktor-faktor ini, PERODUA akan mengekalkan sasaran jualan 247,000 unit untuk tahun ini.

-BERNAMA

Berita Harian X