Selasa, 22 March 2022 | 11:13am
Tempoh pengecualian SST kenderaan akan berakhir pada 30 Jun 2022 - Foto hiasan
Tempoh pengecualian SST kenderaan akan berakhir pada 30 Jun 2022 - Foto hiasan

Pengeluar kereta mohon lanjutan pengecualian cukai

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat pengeluar kenderaan difahamkan sedang melobi kerajaan supaya melanjutkan lagi tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual berakhir pada 30 Jun ini.

Penganalisis RHB Research, Jim Lim Khai Xhiang, berkata walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama 2022 berkemungkinan kekal kukuh, dipacu terutama oleh tempoh cuti SST dan tempahan tertunggak yang tinggi, prestasi pada separuh kedua tahun ini dijangka lebih lemah pasca pengecualian SST, khususnya pada Julai.

"Bagaimanapun, kami berpandangan bahawa satu lagi lanjutan mungkin tidak menjadi kenyataan, menyebabkan beberapa jenama utama akan menyerap SST atau memberikan promosi untuk meningkatkan jualan, dengan mengorbankan margin.

"Tambahan lagi, sekiranya bahan mentah yang lebih mahal diterjemahkan kepada harga lebih tinggi bagi bagi pelancaran akan datang, jumlah jualan berdepan risiko penurunan.

"Jika pengedar tidak memindahkan kos input lebih tinggi, margin akan berdepan tekanan penurunan," katanya dalam satu nota.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini melaporkan TIV bagi Februari meningkat 7.7 peratus kepada 43,722 unit berbanding bulan sebelumnya.

Khai Xhiang berkata, peningkatan bulanan itu khususnya dipacu oleh jualan PROTON dan Honda, ketika kebanyakan jenama utama lain menyaksikan penuruan.

"Kami kekal berhati-hati pada separuh kedua 2022 memandangkan pengenaan semula SST dan kos bahan mentah lebih tinggi mendatangkan risiko terhadap TIV serta margin," katanya.

PROTON mencatatkan peningkatan bulanan 109 peratus TIV pada Februari, diikuti oleh Honda yang merekodkan kenaikan sebanyak 56 peratus.

Jualan Toyota dan Lexus susut sebanyak 15 peratus, berkemungkinan disebabkan oleh penurunan sebanyak 13 peratus pengeluaran Toyota.

Bagaimanapun, dalam kalangan jenama bukan nasional, Toyota terus menjadi pendahulu dengan 16.6 peratus penguasaan pasaran tempatan, manakala Honda ketinggalan di belakang pada 11.7 peratus.

Khai Xhiang berkata, peningkatan TIV pada Februari diterajui oleh PROTON, khususnya disebabkan oleh pemiulihan pengeluaran model Saga dan Exora di kilang Shah Alam pasca banjir.

"Perodua turut mencatatkan pemulihan kukuh, dipacu khususnya oleh model Axia dan Bezza," katanya.

Berita Harian X