Jumaat, 4 March 2022 | 3:54pm
Rolls-Royce Black Badge Ghost.
Rolls-Royce Black Badge Ghost.

Black Badge Ghost dilancarkan di Malaysia, RM1.8 juta

KUALA LUMPUR: Rolls-Royce Motor Cars melancarkan model Black Badge Ghost buat pertama kalinya di Malaysia.

Model paling dinamik dalam barisan Rolls-Royce ini yang lengkap segala-galanya itu ditawarkan pada harga bermula RM1.8 juta sebelum cukai.

Black Badge Ghost tampil dengan enjin dan casis yang dibentuk semula bagi memastikan kuasa segera dipertingkat.

Menggunakan enjin 6.75 liter V12, Black Badge Ghost menikmati paluan kuasa padu iaitu 592 kuasa kuda (hp) atau 600 PS manakala tork puncaknya cukup mengujakan iaitu 900Nm.

Model ini mampu membuat pecutan abad (0-100 kilometer sejam) dalam masa 4.7 saat dengan pecutan maksimum adalah 250 km/j.

Sisi gelap Ghost ini juga ditampilkan berdasarkan keinginan pelanggan generasi baharu yang mahukan semua kereta yang pantas, pintar, keterhubungan yang tinggi dan bebas dari sebarang reka bentuk yang berlebihan.

Black Badge Ghost baharu yang lebih minimalis ini bukan sekadar paling maju dari aspek teknologi, malah paling asli dari sudut estetika.

Pengarah Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Anas Zawawi Khalid, berkata Black Badge Ghost adalah 'alter-ego' Rolls-Royce iaitu satu alternatif dalam segmen super-mewah.

"Kami menyaksikan usahawan yang sangat berjaya yang lebih pelbagai berbanding sebelum ini di mana mereka datang bukannya daripada industri tradisional. Mereka adalah inovator, pelopor dan keberanian menjadi asas utama. Justeru, Lencana Hitam adalah kod kemewahan mereka," katanya pada pelancaran model Rolls-Royce Black Badge Ghost di sini, hari ini.

Dari aspek luaran, pelanggan bebas memilih mana-mana dari 44,00 warna sedia pakai atau mencipta rona Bespoke mereka sendiri.

Ia hadir dengan roda 21-inci Bespoke dan Lencana Hitam khas untuk Black Badge Ghost dengan dimensi 5,546 milimeter (mm) panjang, 2,148 mm lebar serta 1,571 mm tinggi.

Menjengah ke dalam kabin, kemewahan adalah sesuatu yang pasti bagi model ini dan ia bukan sekadar mewah tetapi super-mewah.

Berita Harian X