Khamis, 3 March 2022 | 1:00pm
PROTON menguasai 20.2 peratus pasaran jualan kenderaan domestik pada Februari - Foto ihsan PROTON
PROTON menguasai 20.2 peratus pasaran jualan kenderaan domestik pada Februari - Foto ihsan PROTON

Jualan kereta PROTON naik 107 peratus

SUBANG JAYA: Jualan pengeluar kereta nasional, PROTON yang terjejas akibat banjir sebelum ini kembali pulih bulan lalu dengan merekodkan peningkatan sebanyak 107 peratus atau 9,225 unit di peringkat domestik dan eksport.

Ia membolehkan PROTON memperoleh semula kedudukan kedua dalam pasaran dan meletakkannya kembali dalam landasan untuk memulihkan kehilangan jualan bulan Januari.

PROTON menguasai 20.2 peratus pasaran jualan kenderaan domestik bulan lalu, manakala untuk dua bulan pertama tahun ini ia memegang 15.9 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata keupayaan syarikat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta adalah punca utama bagi pemulihan jualan Februari.

"Ini hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor kami dan kakitangan PROTON, yang bekerja bertungkus lumus untuk mengembalikan syarikat ke landasan yang betul.

"Tempahan kami kekal kukuh dan yakin boleh mencapai sasaran untuk tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Roslan berkata, bagi industri automotif Malaysia, dua bulan pertama tahun ini menyaksikan permintaan kukuh yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) berbanding 2021.

"Ini adalah berita baik untuk kedua-dua syarikat kereta dan komuniti vendor selain bukti keberkesanan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Semua aktiviti pengeluaran PROTON beroperasi sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim.

Dengan penyambungan pengeluaran secara sepenuhnya di kedua-dua lokasi, terdapat peningkatan ketara jumlah jualan PROTON secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, model seperti Proton Saga hanya dapat menjalankan pengeluaran dan aktiviti jualan biasa selama setengah bulan, dan ini menjejaskan potensi sepenuhnya.

Proton Saga mencatatkan jualan 2,951 unit pada Februari, walaupun kurang daripada purata bulanan biasa, angka itu dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.

Model lain pula mencapai jualan yang lebih baik berbanding dengan sasaran.

Proton X50 dan Proton X70 menutup tirai Februari dengan jualan sebanyak 3,002 dan 1,119 unit, yang membolehkan kedua-duanya mengekalkan pegangan di tempat pertama dalam segmen masing-masing.

Proton X50 juga menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia dan menarik lebih 100,000 unit tempahan dalam masa hanya 16 bulan.

Proton Exora turut kembali ke tempat pertama dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C, manakala terdapat peningkatan yang besar untuk Proton Iriz dan Proton Persona di mana kedua-dunua berada di kedudukan keempat dan kedua dalam segmen masing-masing.

Jualan eksport pula meningkat sebanyak 72.8 peratus setakat tahun ini, apabila sebanyak 323 unit pelbagai model dijual berbanding hanya 187 unit dijual tahun lalu.

Berita Harian X