Jumaat, 25 Februari 2022 | 7:20pm
Honda EX5 edisi terhad
Honda EX5 edisi terhad

Honda EX5 edisi terhad dijual pada harga RM5,198

KUALA LUMPUR: Boon Siew Honda memperkenalkan model legenda dan disukai ramai, Honda EX5 edisi terhad ke pasaran tempatan bersempena meraikan ulang tahun ke-35 model itu.

Honda EX5 sebagai tanda peringatan khas ini hanya ditawarkan terhad kepada 2,000 unit sahaja dengan harga disyorkan di bilik pameran, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran pada RM5,198.

Model yang pertama kali diperkenalkan di pasaran pada 1987 itu didatangkan dengan imej gaya klasik dengan gabungan gaya retro dan premium.

Honda EX5 edisi terhad ini hanya akan tersedia secara ekslusif dalam warna Extravagant Gold Metallic dengan roda versi Spoke.

Model ini dikuasakan oleh enjin 110cc silinder tunggal yang memberikan kuasa sebanyak 6.37 Kw pada 7,500 rpm dan tork setinggi 8.62 Nm pada 5,500 rpm.

Honda EX5 juga menggunakan 'Programmed Fuel Injection' (PGM-Fi) Honda, yang bertanggungjawab meningkatkan tahap kecekapan proses pembakaran enjin yang optimum sambil mengurangkan pelepasan karbon.

Boon Siew Honda juga menawarkan jaminan pembuatan selama dua tahun atau 20,000 kilometer (mana yang terdahulu).

Dengan ketahanan dan keyakinan yang terbukti selama ini, Honda EX5 menjadi sebahagian daripada mobiliti dengan memberikan kebanggaan serta kegembiraan kepada lebih dua juta rakyat Malaysia.

Berita Harian X