Jumaat, 18 Februari 2022 | 4:14pm
Toyota Camry baharu.
Toyota Camry baharu.

Toyota Camry baharu bermula RM199,000

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor memperkenalkan Toyota Camry baharu yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM199,109.50.

Tempahan untuk Toyota Camry baharu, yang direka cipta untuk mempelopori kecemerlangan pemanduan dari segi bentuk dan juga fungsi ini dibuka bermula semalam di semua pusat pengedaran sah di seluruh negara.

Dibina berlandaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Toyota Camry memperkenalkan konsep penguasaan canggih dengan peningkatan prestasi yang ketara, lantas menaik taraf kereta ke dalam kelas prestasi dan kemewahan yang tersendiri.

Model terbabit menjanjikan peningkatan prestasi, tahap keselamatan dan perlindungan lebih tinggi, ciri dan reka hias dalaman serba mewah, serta penampilan sport unik dan anggun yang nyata menyerlah.

Dipacu oleh Enjin Dynamic Force 2.5 liter, Camry baharu menghasilkan prestasi cemerlang dengan transmisi automatik 8-kelajuan tukaran terus, memastikan kereta sentiasa cekap dan tangkas.

Kereta ini juga dilengkapi dengan penukar gear pedal dan tiga mod pemanduan iaitu ECO, Normal dan Sport untuk pergerakan lancar dan pemanduan yang sangat responsif.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata syarikat itu mencapai kemajuan besar sejak memperkenalkan Camry pertama di Malaysia pada 1994, yang menjadi model generasi ketiga, diikuti oleh Camry Hybrid sulung yang dipasang di dalam negara ini pada 2015.

"Camry generasi kelapan dilancarkan di Malaysia pada November 2018 dan sejak itu sudah menjual 3,000 unit. Dengan penampilan menyerlah dan fungsi optimum, kami yakin Camry 2022 akan menanda aras piawaian baharu dalam aspek keselesaan, kemewahan dan prestasi, sekali gus memacukan keunggulannya jauh di hadapan," katanya.

Sisi belakang Toyota Camry baharu.
Sisi belakang Toyota Camry baharu.

Sama seperti model pendahulunya, Camry 2022 dibina berlandaskan Platform TNGA, iaitu struktur dalaman yang dibina khas oleh Toyota.

Platform ini memberikan Camry tahap ketegaran casis lebih tinggi dan pusat graviti lebih rendah untuk meningkatkan keupayaan pengendalian, penutup hud lebih rendah untuk darjah penglihatan pemandu yang lebih baik serta tahap kawalan dan kestabilan lebih tinggi untuk menukar lorong dengan lancar semasa memandu di lebuh raya, sambil memastikan tahap gegaran minimum untuk pemanduan yang selesa.

Direka bertumpukan warga kota di Malaysia, ciri keselamatan terkini Camry baharu yang dinaik taraf termasuk Toyota Safety Sense (TSS) dengan Pre-Collision System (PCS) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) lebih peka yang juga boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada Semua Kelajuan, Sistem Pengekalan Lorong dan Bantuan Penjejak Lorong (LTA) serta Pemantauan Titik Buta (BSM) dengan Brek Belakang Automatik Untuk Lalu Lintas Silang (RCTAB).

Dengan ciri serba baharu seperti Sonar Penjarakan Pintar Baharu dan Skrin Pemandangan Panorama, inovasi yang dipelopori Toyota menjadi teman terbaik untuk membantu anda mengharungi jalan-jalan di Malaysia.

Setiap perjalanan pasti terasa mewah dan menghiburkan dengan Toyota Camry Baharu, lebih-lebih lagi dengan skrin 9-inci Display Audio serasi Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan pemandu dan penumpang menikmati lagu dan hiburan terbaik menerusi sembilan speaker JBL termasuk subwoofer yang memberikan nikmat pendengaran terulung.

Papan pemuka Toyota Camry baharu.
Papan pemuka Toyota Camry baharu.

Di samping itu, penumpang belakang boleh menyendengkan kerusi mereka, melaraskan sistem pendingin udara tiga zon dan tabir suria dengan mudah, dan juga mengawal sistem audio dengan sentuhan satu butang di panel kawalan, yang dilengkapi alas lengan di tengah-tengah.

Ciri ini diperkenalkan buat julung kalinya dalam segmen Camry.

Camry 2022 memperlihatkan ciri estetika mewah bergaya sport yang anggun lagi tersendiri, baik di dalam mahupun di luar.

Model ini dilengkapi Pemancar Bi-LED dengan Lampu Siang LED (DRL) serta Rim Aloi 18 inci reka bentuk baharu.

Untuk menambah ketenangan fikiran, lampu depan automatik dilengkapi dengan fungsi Follow-Me-Home meningkatkan keselamatan bagi pemandu apabila tiba di destinasi masing-masing.

Ruang dalaman menggabungkan fungsi, gaya dan hasil seni pertukangan luar biasa, dengan rias kayu hitam terbina yang rapi untuk menyerlahkan aura keanggunan dan kemewahannya.

Untuk memastikan pemandu boleh melihat dengan jelas, skrin audio tengah 9 inci ditempatkan pada paras lebih tinggi, iaitu di atas saluran pendingin udara.

Lokasinya lebih hampir kepada garis pandang pemandu untuk meningkatkan darjah penglihatan dan memudahkan pemandu mencapai fungsi audio.

Camry baharu menawarkan pilihan lima warna yang menarik termasuk Graphite Metallic, Silver Metallic, Red Mica dan juga dua warna unik tersendirinya, iaitu Platinum White Pearl dan Burning Black, dengan kos tambahan RM800.

Berita Harian X