Khamis, 17 Februari 2022 | 4:18pm
Jualan kenderaan pada Februari 2022 diunjur kekal sama seperti pada tahap Januari 2022 - Foto hiasan
Jualan kenderaan pada Februari 2022 diunjur kekal sama seperti pada tahap Januari 2022 - Foto hiasan

Jualan kereta di Malaysia kekal memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 22 peratus kepada kepada 40,581 unit pada Januari 2022, berbanding Januari tahun lalu yang merekodkan 33,392 unit.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataannya bagaimanapun berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan dikaji adalah 38 peratus lebih rendah daripada Disember 2021 yang mencatatkan 65,184 unit jualan.

Katanya, ia berikutan kebanyakan pelanggan membuat pembelian awal pada Disember 2021.

"Selain itu, TIV Disember 2021 yang amat tinggi ini adalah disebabkan oleh kempen promosi akhir tahun oleh syarikat automotif.

"Gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh banjir di sebahagian kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur pada Disember 2021 menyebabkan jumlah stok lebih rendah untuk dibawa ke Januari 2022," katanya.

Persatuan itu mengunjurkan jualan pada Februari 2022 akan kekal sama seperti pada tahap Januari 2022.

"Ia disebabkan oleh hari bekerja yang lebih pendek pada bulan ini dan gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh banjir baru-baru ini dan kekurangan cip yang masih berterusan," katanya.

Jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 33,668 unit daripada 29,417 unit setahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial turut naik kepada 6,913 unit berbanding 3,975 unit.

Mengenai jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 42,961 unit dikeluarkan pada Januari 2022, naik 28.6 peratus daripada 33,392 unit pada Januari 2021.

Daripada jumlah itu, sebanyak 39,455 unit adalah kenderaan penumpang berbanding Januari 2021 pada 36,186 unit manakala 3,506 unit adalah kenderaan komersial.

Berita Harian X