Selasa, 15 Februari 2022 | 12:50pm
Honda City Hatchback RS e:HEV - Foto ihsan Honda Malaysia
Honda City Hatchback RS e:HEV - Foto ihsan Honda Malaysia

Harga City Hatchback RS e:HEV bermula RM107,000

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia mengumumkan harga jualan bagi varian serba baharu City Hatchback RS e:HEV yang bermula RM107,783.09.

Model yang ditawarkan buat pertama kali dalam bentuk badan hatchback dan dilengkapi dengan teknologi e:HEV itu sudah menerima lebih 5,200 tempahan setakat ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, berkata model serba baharu yang dilancarkan Disember lalu itu menerima sambutan memberangsangkan daripada rakyat Malaysia.

"Kami yakin City Hatchback RS e:HEV serba baharu akan menetapkan penanda aras dalam pasaran dengan pakej lengkap luaran RS yang bergaya, rangkaian kuasa e:HEV, Honda SENSING dan telematik canggih Honda CONNECT.

"Ia akan menjadi tarikan kepada pelanggan terutama pelanggan yang lebih muda," katanya dalam satu kenyataan.

City Hatchback serba baharu direka bentuk untuk menjadi 'Energetic Hatchback' dan varian RS e:HEV yang eksklusif menambah kesan sporty.

Varian itu didatangkan dengan Gloss Black - Gril Depan, Solid Wing dan Door Mirrors, untuk memberikan ekspresi warna badan dua tona.

Bentuk eksklusif RS e:HEV ditampilkan menerusi bahagian bawah gril, Fog Garnish dan bampar belakang.

Varian itu juga hadir dengan lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus depan LED, Tailgate Spoiler dan lampu belakang kombi LED.

Ia turut hadir dengan rim aloi 16-inci, sekali gus memberikan penampilan anggun model City Hatchback RS e:HEV.

Model serba baharu City Hatchback RS e:HEV dikuasakan dengan trenkuasa 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang digabungkan dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT).

Trenkuasa itu menghasilkan 109PS dan tork 253 Nm bersamaan dengan prestasi tork enjin segmen-D Naturally Aspirated.

Untuk varian RS e:HEV, ia tampil dengan sistem hibrid dua motor yang menawarkan mod pemanduan EV, Hybrid dan Engine yang akan bertukar secara bergilir-gilir mengikut keadaan pemanduan.

Rekaan dalaman City Hatchback RS e:HEV serba baharu adalah canggih dan sporty dengan tempat duduk Ultrasuede dengan jahitan merah bergaya.

Varian itu turut menampilkan Meter Transistor Filem Nipis Interaktif (TFT) 7-inci yang menyediakan akses mudah kepada maklumat mengikut keperluan pemandu.

City Hatchback RS e:HEV serba baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Platinum White Pearl.

Berita Harian X