Khamis, 27 Januari 2022 | 12:13pm
Sektor automotif dijangka terus mencatatkan pemulihan kukuh tahun ini - Foto fail NSTP
Sektor automotif dijangka terus mencatatkan pemulihan kukuh tahun ini - Foto fail NSTP

MIDF kekal saranan positif terhadap sektor automotif

KUALA LUMPUR: MIDF Research mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor automotif dan membuat saranan 'beli' kepada UMW Holdings Bhd (UMW) pada harga sasaran RM4.35 sesaham, manakala RM3.87 bagi MBM Resources Bhd (MBM Resources).

Katanya, kedua-dua syarikat itu adalah syarikat tersenarai utama dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) berikutan UMW dan MBM Resources memiliki PERODUA, masing-masing sebanyak 38 peratus dan 22.6 peratus.

"MBM Resources menyediakan kemasukan yang lebih rendah iaitu 6.3 kali ramalan nisbah harga perolehan tahun kewangan 2022 dan lebih leveraj kepada pendapatan PERODUA (kira-kira 69 peratus daripada pendapatan kumpulan)," menurut MIDF dalam nota hari ini.

MIDF mengunjurkan sasaran jualan sebanyak 240,000 unit bagi PERODUA pada tahun ini berbanding sasaran pengeluar kereta itu iaitu 247,800 unit, seiring dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) yang lebih konservatif.

"PERODUA menyasarkan pertumbuhan tahun-ke-tahun lebih 30 peratus bagi jumlah jualan kepada 247,800 unit pada 2022, berdasarkan andaian bahagian pasaran yang mengembang 40.6 peratus tahun ini daripada 37.4 peratus pada 2021, selain ramalan TIV berjumlah 610,000 unit pada 2022.

"Secara keseluruhan, sasaran jualan PERODUA adalah kejutan yang positif dan mungkin menyebabkan risiko meningkat terhadap ramalan kami. Bagaimanapun, apa yang lebih penting, ia menyokong saranan 'positif' kami ke atas sektor automotif," kata MIDF.

MIDF turut mengulangi saranan 'beli' ke atas Bermaz Auto Bhd dengan harga sasaran sehingga RM1.98 sesaham berdasarkan pengembangan volum syarikat itu dan pelancaran kenderaan elektrik (EV) yang agresif untuk memanfaatkan insentif EV.

-BERNAMA

Berita Harian X