Rabu, 26 Januari 2022 | 4:13pm
Permintaan kukuh bagi semua model PERODUA tahun ini dengan Myvi mendahului - Foto hiasan
Permintaan kukuh bagi semua model PERODUA tahun ini dengan Myvi mendahului - Foto hiasan

PERODUA sasar rekod jualan tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengunjurkan 2022 sebagai tahun pemulihan dengan jangkaan jualan mencecah 247,800 unit, rekod tertinggi dalam sejarah penubuhannya jika dapat dicapai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata berdasarkan sasaran itu, pengeluar kereta kompak nasional itu menjangkakan penguasaan pasaran melonjak kepada 40.6 peratus tahun ini.

Katanya, sasaran jualan tahun ini lebih baik berbanding pencapaian tahun lalu iaitu 190,291 unit dengan penguasaan pasaran 37 peratus disokong jaminan langkah pembendungan COVID-19 kerajaan yang menyaksikan tiada lagi sekatan pergerakan akan dilaksanakan.

"Sasaran jualan tahun ini adalah berdasarkan unjuran dalaman kami membabitkan jumlah keseluruhan industri (TIV) 610,000 unit berbanding sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 600,000 unit.

"Kami menjangkakan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga akhir Jun akan merangsang TIV dan jumlah akan lebih tinggi jika kerajaan melanjutkan (pengecualian) sehingga akhir tahun," katanya ketika memberi taklimat unjuran 2022 PERODUA di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, isu kekurangan bekalan cip semikonduktor yang kekal masih terkawal turut mendorong PERODUA meletakkan sasaran jualan tertinggi itu, selain aspek pengeluaran juga bertambah baik.

"Kami menjangka untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 peratus lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dihasilkan tahun lalu. Keyakinan syarikat juga terletak kepada angka warga kerja PERODUA yang kekal seramai 11,500 orang.

"Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif vendor tempatan kepada RM7.5 bilion, 41.5 peratus lebih tinggi berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021.

"Pemulihan ini akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat kerana permintaan terhadap kenderaan masih kukuh. Tempahan tertangguh kenderaan PERODUA pada 2021 di bawa ke tahun ini juga berjumlah lebih 70,000 unit," katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ini, permintaan adalah kukuh bagi semua model PERODUA dengan Myvi mendahului dengan mencatatkan sebanyak 47,525 unit diikuti Axia (43,080 unit), Bezza (42,698 unit), Ativa (26,847 unit), Aruz (15,313 unit) dan Alza (14,828 unit).

"Sejak dilancarkan pada 18 November 2021, PERODUA menghantar 7,055 unit Myvi Baharu dengan tempahan mencecah 31,154 unit sejak 9 November 2021," katanya.

Zainal Abidin berkata, inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan kerajaan masih menjadi insentif yang terbaik buat pengguna untuk membeli kereta baharu mereka.

"Jumlah tempahan kami untuk kenderaan baharu masih kukuh dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan dan ini bermakna kami dapat memenuhi tempahan yang tertunggak tepat pada masanya," katanya.

Beliau menambah, 2021 amat mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis di sepanjang tahun.

"Justeru, kami banyak belajar daripada situasi ini dan telah mengambil langkah yang berkesan untuk memastikan PERODUA dapat menghadapinya dengan lebih baik sekiranya krisis seumpama ini berulang lagi," katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, PERODUA menerima hampir 2,103 kes membabitkan banjir di seluruh negara dan daripada jumlah itu 366 kenderaan sudah dibaiki dan dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Berita Harian X