Jumaat, 21 Januari 2022 | 3:34pm
Model baharu Peugeot 2008
Model baharu Peugeot 2008

Peugeot 2008 baharu bermula RM126,753 seunit

SHAH ALAM: Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd, pengedar sah jenama Peugeot di Malaysia melancarkan model baharu Peugeot 2008 yang ditawarkan pada harga bermula RM126,753 seunit.

Model terkini dilihat membuka lembaran baharu dalam sejarah kenderaan utiliti sukan (SUV) Peugeot menerusi identiti kukuh.

Dari aspek luaran, model itu didatangkan dengan gabungan gril lurud, bonet berukir dan lampu nyalaan siang (DRL) LED di bawah lampu depan LED penuh

Melengkapkan gayanya adalah rim 17 inci Black Onyx & Diamond Cut untuk memberikan penampilan sporty.

Ciri luaran lain termasuk kemasukan tanpa kunci, sensor parkir depan dan belakang bersama kamera belakang, rel bumbung serta cermin sisi boleh lipat secara elektrik.

Menjengah ke ruang kabin, Peugeot 2008 dilengkapi dengan PEUGEOT i-Cockpit yang menawarkan ergonomik sempurna termasuk stereng kompak untuk pengendalian terbaik, skrin sentuh definisi tinggi 7-inci dan kluster instrumen heads-up tiga dimensi.

Melengkapkan ruang dalaman termasuk kawalan suhu automatik zon tunggal, tempat duduk kulit, brek parkir elektrik, mod pemanduan (Normal, Eco & Sport), dan pencahayaan dalaman.

Dari aspek keselamatan pula, Peugeot 2008 hadir dengan teknologi Visiopark 1 iaitu merangkumi pandang kamera belakang 180 darjah, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Assist, Blind Spot Monitoring dan Active Safety Brake.

Bahagian hadapan Peugeot 2008
Bahagian hadapan Peugeot 2008

Ruang bonet Peugeot 2008
Ruang bonet Peugeot 2008

Ciri keselamatan standard lain termasuk enam beg udara SRS, Hill Start Assist dan Electronic Stability Program (ESP) yang merangkumi Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-Force Distribution (EBD) serta Emergency Brake Assist (EBA).

Nadi utama Peugeot 2008 adalah enjin petrol PureTech 1.2L 3-silinder pengecas turbo, yang memberikan 130 kuasa kuda (hp) dan tork 230 Nm.

Enjin pengecas turbo digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan dengan quick-shifting.

Menurut Bermaz Auto Alliance, model yang dipasang di kilang pengeluaran Stellantis di Gurun, Kedah itu berjaya mengharungi ujian sejauh 200,000 kilometer (km) dalam pelbagai iklim dan landskap alam sekitar di Malaysia.

"Semua kenderaan yang dibangunkan di kilang pembuatan Stellantis di Gurun menjalani ujian ketahanan dan kualiti khusus di Malaysia, untuk memberikan prestasi terbaik dalam kelasnya mengikut kesesuaian domestik dan memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Peugeot 200 baharu ditawarkan dengan empat warna iaitu Amazonite Grey, Pearl White dan Nera Black, selain warna eksklusif Orange Fusion.

Model itu didatangkan servis percuma tiga tahun dengan had perbatuan 60,000 km (yang mana dahulu).

Ia dilengkapi dengan waranti pengeluar selama lima tahun dan had perbatuan 100,000 km (yang mana dahulu).

Ruang dalaman Peugeot 2008
Ruang dalaman Peugeot 2008

Berita Harian X