Sabtu, 15 Januari 2022 | 9:23am
Toyota Corolla Cross Hybrid Electric
Toyota Corolla Cross Hybrid Electric

UMW lancar Toyota Corolla Cross Hybrid Electric

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor (UMW) melancarkan Toyota Corolla Cross Hybrid Electric serba baharu sebagai sebahagian daripada inisiatif global untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050

"Toyota Corolla Cross Hybrid Electric adalah kenderaan hibrid pertama UMW yang dipasang di dalam negara berlandaskan platform Seni Bina Global Baharu Toyota (TNGA)," kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran. K.

"Kami percaya pelancaran ini juga akan merintis jalan bagi membangunkan industri pengeluaran kenderaan cekap guna tenaga (EEV) di Malaysia," katanya pada pelancaran secara maya Toyota Corolla Cross Hybrid, semalam.

Ravindran berkata, sejak Toyota Corolla Cross Hybrid Electric dibuka untuk tempahan pada Oktober tahun lalu, UMW menerima banyak tempahan, ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menyokong teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.

"Toyota mengenal pasti HEV sebagai penyelesaian pintar yang boleh digunakan oleh rakyat Malaysia demi mencapai masa depan yang lestari," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Akio Takeyama berkata: "Sebagai pelopor dalam dunia pengangkutan, Toyota sentiasa meluaskan sempadan teknologi dan mengubah ekosistem pergerakan dengan inovasi era baharu yang sungguh menarik demi menambah baik keupayaan pergerakan insan dan gaya hidup mereka."

UMW Toyota Motor ialah perintis dalam teknologi Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) sejak 2009 menerusi Prius dan usaha ini diteruskan dengan Prius C dan Camry Hybrid, katanya.

"Corolla Cross Hybrid Electric serba baharu yang dilengkapi dengan Sistem Elektrik Hibrid Toyota Generasi Ke-4 untuk meningkatkan kecekapan guna bahan api, melanjutkan daya tahan bateri serta menambah baik pengendalian dan kestabilan," kata Takeyama.

Menurutnya, Corolla Cross Hybrid Electric serba baharu menghasilkan pelepasan gas karbon lebih rendah, pecutan lebih pantas dan teknologi elektrik hibrid canggih yang memastikan anda terus kekal di hadapan bagi tempoh yang lama.

Corolla Cross Hybrid Electric baharu boleh didapati dalam lima warna luar biasa – Celestite Grey Metallic (Metalik Kelabu), Silver Metallic (Metalik Perak), Nebula Blue Metallic (Metalik Biru Nebula), Platinum White Pearl (Putih Mutiara Platinum) dan Red Mica Metallic (Metalik Mika Merah) pada harga jualan bermula daripada RM136,550 (tanpa insurans).

-BERNAMA

Berita Harian X