Khamis, 13 Januari 2022 | 1:08pm

Honda Malaysia lancar Civic generasi ke-11

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia melancarkan model serba baharu yang memasuki generasi ke-11, Civic ke pasaran tempatan.

Model baharu itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu E yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM125,634.64, manakala varian V dari RM138,043.36 dan varian paling mencuri tumpuan, RS boleh memilikinya dengan harga bermula RM144,350.09.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, berkata pengenalan model itu dijangka merancakkan lagi pasaran dan mengekalkan posisinya sebagai model nombor satu dalam segmen C.

"Sewaktu proses pembangunan Civic Generasi ke-11 serba baharu ini, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda memberikan segala usaha dan idea mereka bentuk bahagian luaran, dalaman dan pakej keseluruhan kereta ini.

"Model ini adalah terjemahan unsur-unsur klasik disamping menitikberatkan nilai Honda yang berterusan.

"Ia hadir dengan reka bentuk yang bergaya, ciri dalaman premium dan prestasi terbaik dalam kelasnya," katanya semasa melancarkan model itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Chujo berkata, dengan pelancaran model yang menarik itu, Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 900 unit sebulan.

Civic Generasi ke-11 menggunakan enjin 1.5L i-VTEC pengecas turbo yang dipertingkatkan yang kini didatangkan standard untuk semua varian.

Ia menawarkan pemanduan yang menyeronokkan dengan tenaga maksimum 182PS dan tork terbaik di dalam segmennya iaitu 240Nm, menjadikan enjin itu lebih berkuasa dari enjin 2.4L.

Civic serba baharu juga mempunyai mod pemanduan baharu iaitu ECON, Normal dan Sport yang mudah dipilih menggunakan suis Drive Mode.

Honda mempertingkatkan ruang dalaman Civic serba baharu dengan menawarkan konsep lebih menyegarkan dengan menggunakan rekabentuk berkonsepkan suasana dan rasa terbuka.

Fokus utama ialah untuk memberikan penglihatan visual yang jelas melalui ruang cermin lebih luas.

Ciri yang menjadi tarikan utama ialah penggunaan panel Honeycomb Mesh yang berjaya membawa rasa premium pada papan pemukanya.

Civic serba baharu juga mempunyai reka bentuk tempat duduk baharu yang memberikan sokongan posisi badan lebih baik ketika memandu.

Varian RS didatangkan dengan tempat duduk kombinasi kulit dengan jahitan benang merah berserta stereng balutan kulit dengan, lapisan siling hitam, pedal kaki sport dan pencahayaan ruang kaki.

Varian RS dan V dilengkapi dengan paparan audio berukuran sembilan inci yang boleh dipadankan dengan Apple CarPlay serta Android Auto, serta dua slot USB di bahagian hadapan.

Antara ciri-ciri standard untuk semua varian ialah Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran tujuh inci, dua slot USB untuk tempat duduk belakang dan pengelap cermin pintar.

Kerangka Civic ini juga diperhalusi untuk menawarkan pengendalian yang lebih baik dan pemanduan lebih selesa di mana ia lebih kukuh berbanding Civic sebelumnya, dengan peningkatan sebanyak lapan peratus dari pengukuhan torsional dan 13 peratus lebih baik dalam pengukuhan liuk atau 'bending'.

Dengan kerangka yang berketegaran tinggi, keselamatan dapat dipertingkatkan sekiranya berlaku pelanggaran dan memberikan mutu pengendalian kenderaan yang lebih baik.

Konsep reka bentuk baharu ini memberikan Identiti Alaf Baharu untuk sebuah sedan.

Dilengkapi dengan ciri dan teknologi terkini, ia masih mengekalkan DNA model Civic dari segi reka bentuk, pengendalian dan prestasi berkuasa.

Honda Malaysia juga buat pertama kalinya memperkenalkan varian RS untuk barisan model Civic dengan meningkatkan ciri sporty dan gaya berani.

Antara ciri luaran eksklusif RS adalah seperti kemasan hitam berkilat di pintu dengan cermin sisi berwarna hitam, antena 'Shark Fin', pemegang luar pintu dan spoiler penutup but.

Manakala ekzos berkembar dengan kemasan krom dan roda aloi hitam 'Matte' 18-inci memberikan ciri sporty untuk penampilannya.

Civic serba baharu ini juga dilengkapi dengan set lengkap teknologi keselamatan terkini yang intuitif dan pintar.

Honda SENSING yang dipertingkatkan ini didatangkan dengan ciri baharu iaitu Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Lead Car Departure Notification System), pertama kali diperkenalkan untuk model kereta Honda Malaysia.

Dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan Honda SENSING yang canggih, Civic serba baharu adalah model yang paling lengkap dengan ciri keselamatan untuk kenderaan dalam segmen C.

Antara senarai fungsi Honda SENSING diperbaharui yang ada dalam Civic ini adalah Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Lead Car Departure Notification System); Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control); Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow); Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System); Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning); Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System); Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation); Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning); dan Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam).

Model Honda Civic varian RS yang terbaharu dilancarkan di Malaysia, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Model Honda Civic varian RS yang terbaharu dilancarkan di Malaysia, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X