Khamis, 6 Januari 2022 | 6:51pm
Timbalan CEO PROTON, Roslan Abdullah - Foto ihsan PROTON
Timbalan CEO PROTON, Roslan Abdullah - Foto ihsan PROTON

Roslan Abdullah dilantik sebagai Timbalan CEO PROTON

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) melantik Roslan Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Sebelum ini, beliau adalah Naib Presiden, Bahagian Pemasaran dan Jualan untuk PROTON dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB) sejak 1 Jun 2020.'

Roslan yang memiliki ijazah sarjana Kewangan dan Perakaunan daripada Universiti Brighton, United Kingdom, mempunyai pengalaman selama tiga dekad dalam bidang automotif termasuk perlantikan dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), ISUZU HICOM Malaysia dan Honda Malaysia di mana beliau mempunyai dua tanggungjawab iaitu selaku Presiden dan juga Ketua Pegawai Operasi.

"Roslan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pengurusan PROTON dan memberi panduan kepada pengurusan keseluruhan perniagaan, khususnya dengan pengukuhan fungsi bahagian pemasaran dan jualan. Saya yakin kita mampu menjalinkan kerjasama yang erat untuk memacu syarikat ke arah kejayaan," kata CEO PROTON, Dr Li Chunrong dalam satu kenyataan hari ini.

Chunrong berkata, PROTON menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada Datuk Radzaif Mohamed, yang bersara sebagai Timbalan CEO pada 31 Disember 2021.

"Dilantik ke jawatan pada 1 April 2016, beliau memainkan peranan penting dalam memantau proses sehingga termeterainya perkongsian diantara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding (Geely) dan membantu membawa syarikat ke kedudukan terkini dalam industri automotif.

"PROTON ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Radzaif untuk segala sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi sehingga kami mencapai kejayaan.

"Kepentingan untuk mendapatkan sesuatu perkara itu secara tepat semasa bermulanya perkongsian dengan Geely amat kritikal dan mustahak dalam memastikan proses pembaharuan syarikat sehingga kini dan kepimpinannya dalam tempoh berkenaan tidak ternilai harganya," katanya.

Berita Harian X