Rabu, 22 Disember 2021 | 6:41pm
Suzuki Katana. NSTP/ASWADI ALIAS
Suzuki Katana. NSTP/ASWADI ALIAS

Suzuki Katana: Kemunculan semula lagenda jalan raya

PADA tahun 1982, Suzuki Katana GS1100S amat terkenal sebagai motosikal berkuasa tinggi terbaik keluaran Jepun. Selain daripada rupa bentuknya yang futuristik serta amat radikal, ia juga boleh dikendalikan dengan amat baik dan mampu memecut pada jarak 500 meter dalam masa 12 saat pada kelajuan 190 kilometer sejam (kmh).

Pernah dinobatkan sebagai 'motosikal berkuasa tinggi terbaik dalam sejarah', Katana GS1100S adalah motosikal berkapasiti besar yang 'menggerunkan' dan menjadi idaman peminat jentera dua roda pada masa itu.

Siapa tidak kenal Katana yang dianggap model lagenda Suzuki. Meskipun sudah hampir 40 tahun berlalu, namun sehingga hari ini model ikonik ini diperkatakan dan kelibatnya pasti menjadi perhatian 'mat motor' khususnya peminat motosikal retro.

Pada tahun lalu, Suzuki mengambil pendekatan berani untuk melancarkan generasi baharu Katana yang lebih kompak dan moden. Seperti sebelumnya, Suzuki Katana GSX-S1000S baharu dibangun berdasarkan platform GS.

Adakah Suzuki mampu mengulangi sejarah? Mungkin sukar untuk menandingi kemasyhuran model terdahulu khususnya dari segi rupa bentuknya, namun versi baharu ini memiliki kelebihan tersendiri.

Paling menarik Katana GSX-S1000S menggunakan enjin empat sebaris 999cc berprestasi tinggi yang turut menjadi lagenda Suzuki iaitu GSX-R1000 K5.

Tampil dengan lebih kompak dan ringan. NSTP/ASWADI ALIAS
Tampil dengan lebih kompak dan ringan. NSTP/ASWADI ALIAS

Enjin lagenda motogp K5 yang terbukti berprestasi tinggi. NSTP/ASWADI ALIAS
Enjin lagenda motogp K5 yang terbukti berprestasi tinggi. NSTP/ASWADI ALIAS

Paparan meter TFT walaupun tampak ringkas, namun cukup padat dengan maklumat tunggangan. NSTP/ASWADI ALIAS
Paparan meter TFT walaupun tampak ringkas, namun cukup padat dengan maklumat tunggangan. NSTP/ASWADI ALIAS

Ekzos empat kepada satu, meskipun versi standard, namun mengeluarkan bunyi deruman enjin K5 ‘perlumbaan’. NSTP/ASWADI ALIAS
Ekzos empat kepada satu, meskipun versi standard, namun mengeluarkan bunyi deruman enjin K5 ‘perlumbaan’. NSTP/ASWADI ALIAS

Dari belakang, Katana kelihatan langsing dengan sudut serta segi tajam yang radikal. NSTP/ASWADI ALIAS
Dari belakang, Katana kelihatan langsing dengan sudut serta segi tajam yang radikal. NSTP/ASWADI ALIAS

Katana serba moden ini tampak lebih ringkas, kecil dan kompak, dengan berat kering 215 kilogram (kg), yang mana adalah hampir 33 kg lebih ringan berbanding model terdahulu.

Enjin K5 pada Katana baharu, walaupun sudah 15 tahun diperkenalkan, namun terbukti amat lancar dan berkuasa. Jika tidak, tentunya tiada laporan bahawa BMW juga mengkaji enjin K5 ketika membangunkan model prestasi tinggi S1000RR keluarannya.

Ditala untuk memberikan prestasi keseluruhan yang ideal di jalanan, seni bina teras enjin empat lejang berprestasi tinggi 999 cc DOHC penyejuk cecair empat lejang berupaya menghamburkan kuasa sehingga 148 hp pada rpm 10,000 dan tork 107 Nm pada rpm 9,500.

Walaupun tork maksimumnya adalah sedikit lebih rendah, namun enjin ini menampilkan pengeluaran tork yang lebih padu pada rpm rendah. Ini membolehkan pecutan secara segera dapat dibuat daripada kedudukan kelajuan rendah. Pecutan yang lebih pantas juga boleh dibuat pada kelajuan pertengahan dan lebih tinggi, khususnya ketika rpm mencecah bacaan 7,000, yang mana membawa kepada pengalaman menunggang yang lebih menyeronokkan. Enjin K5 sememangnya pantas dan Katana ini juga tentunya pantas.

Katana GSX-S1000S mampu memecut daripada sifar ke 220 kmh dalam masa 11 saat, daripada sifar ke 100 kmh dalam masa 3.2 saat, hampir menyamai model sportbike lain ketika ini.

Suzuki Katana turut dilengkapi Low RPM Assist, Suzuki Easy Start System dan Traction Control System. Kelengkapan lain termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, fork depan terbalik, suspensi belakang mono boleh laras prabeban, sistem brek Brembo dan Nissin dengan ABS, tinggi pelana 825 mm.

Namun begitu, kapasiti tangki minyak yang agak kecil iaitu 12 liter agak meresahkan penunggang jika bercadang untuk perjalanan jauh kerana ia mampu bertahan untuk jarak lebih kurang 160-170 km sahaja dan terpaksa diisi semula. Kadar penggunaan petrol adalah 5.47 liter bagi setiap 100 km.

Katana dilengkapi kluc slipper/assist yang menjadikan genggaman kluc lebih lembut dan selesa, manakala penukar gear pantas (quickshifter) naik/turun adalah amat lancar selaras dengan respons kotak gear, selain daripada amat mudah mencari gear neutral.

Fokus Katana sebenarnya bukan untuk kelajuan ekstrem, namun lebih kepada karektor lincah dan pecutan padu genre 'naked bike' atau 'streetfighter'.

Jika pada 1980an, Suzuki berjaya menukar motosikal kuasa tinggi standard kepada sportbike. Pada model baharu ini, Suzuki menukar model sportbike kepada motosikal kuasa tinggi standard. Di jual pada harga RM77,989 seunit, Katana wajar menjadi perhatian peminat motosikal tempatan.

SPESIFIKASI:

Enjin: DOHC 999cc empat silinder sebaris penyejukan cecair

Kuasa: 148 hp @ 10,000 rpm

Tork: 107 nm @ 9,500 rpm

Kotak gear: 6-kelajuan

Suspensi hadapan: Fork KYB 43mm, boleh laras, 4.7 inci jarak hentakan

Suspensi belakang: KYB monoshock, boleh laras, 5.1 inci jarak hentakan

Tayar hadapan: Dunlop Roadsport 2 120/70-17

Tayar belakang: Dunlop Roadsport 2 190/50-17

Ketinggian ke tempat duduk: 825 mm

Kapasiti tangki: 12 liter

Berat kering: 215 kg

Berita Harian X