Jumaat, 17 Disember 2021 | 7:54pm
Insentif pengecualian cukai jualan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022 - Foto Bloomberg
Insentif pengecualian cukai jualan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022 - Foto Bloomberg

Jualan kenderaan baharu cecah 58,742 unit bulan lalu

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan jualan kenderaan baharu sebanyak 58,742 unit pada November 2021, menjadikan penyusutan bulan ke bulan yang pertama selepas empat bulan merekodkan pertumbuhan dua angka.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) merosot 7.5 peratus daripada 63,489 unit dijual pada Oktober 2021.

"Ini berikutan kekurangan cip dan beberapa bahagian menjejaskan pengeluaran jenama tertentu.

"Selain itu, pengguna mungkin menangguhkan pembelian kenderaan baharu memandangkan insentif pengecualian cukai jualan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, MAA berkata, TIV pada bulan lalu naik 1.9 peratus daripada 57,622 unit dijual dalam bulan sama pada tahun lalu.

Jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 52,601 unit daripada 52,289 unit pada November 2020, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 6,141 unit berbanding 5,333 unit.

Jumlah jualan untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini sebanyak 441,136 unit, merosot empat peratus daripada 459,336 unit yang dicapai dalam tempoh sama pada 2020.

Mengenai jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 58,079 unit telah dikeluarkan pada November 2021, naik 5.9 peratus daripada 54,832 unit pada November 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak 53,661 unit adalah kenderaan penumpang berbanding November 2020 pada 50,894 unit manakala 4,418 unit adalah kenderaan komersial (November 2020: 3,938 unit).

Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini, sebanyak 396,530 kenderaan penumpang dikeluarkan berbanding 405,838 unit dalam tempoh sama pada 2020 manakala 30,955 kenderaan komersial dihasilkan berbanding 23,488 unit sebelum ini.

"Jualan pada Disember 2021 dijangka kekal pada paras November 2021.

"Kempen promosi akhir tahun syarikat akan memacu jualan," katanya.

MAA berkata, syarikat automotif dijangka turut meningkatkan penghantaran kenderaan untuk memenuhi tempahan tertunggak, terutamanya untuk yang mempunyai tahun kewangan berakhir Disember 2021.

–BERNAMA

Berita Harian X