Ahad, 5 Disember 2021 | 11:33am
Perodua Myvi baharu dilancarkan pada 18 November 2021
Perodua Myvi baharu dilancarkan pada 18 November 2021

PERODUA terima 14,600 tempahan Myvi baharu

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menerima 14,600 tempahan Myvi baharu yang dilancarkan pada 18 November lalu setakat 2 Disember 2021, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 7,189 unit membabitkan tempahan daripada pembeli yang beralih daripada varian sebelumnya," katanya pada sidang media selepas program Media Myvi Warrior di Iskandar Puteri.

Myvi Baharu hadir dalam lima varian iaitu 1.5 liter AV (Advance), 1.5 liter H, 1.5 liter X , 1.3 liter G dan 1.3L G (Basic) dengan harga bermula daripada RM45,700 hingga RM58,800 tanpa insuran dan tidak termasuk Cukai Jualan.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata PERODUA menyasarkan jualan sebanyak 240,000 unit kenderaan pada 2022, peningkatan sebanyak 20 peratus atau 40,000 unit kenderaan berbanding sasaran jualan pada tahun ini.

Menurutnya, sasaran itu disokong oleh jangkaan bahawa 2022 akan menjadi tahun pemulihan daripada pandemik COVID-19, sekali gus memberi kestabilan kepada pasaran.

"Kami jangkakan permintaan meningkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun hadapan kerana orang ramai mahu mendapat manfaat daripada insentif pengecualian cukai jualan oleh kerajaan manakala jualan pada separuh kedua dijangka sedikit perlahan.

"PERODUA juga dalam perancangan untuk melancarkan model baharu Perodua Alza pada tahun hadapan memandangkan model sedia ada akan ditamatkan pengeluaran pada Januari," katanya.

Zainal Abidin berkata, PERODUA menjangkakan pembelian komponen auto akan kembali pulih kepada sekitar RM6.5 bilion pada tahun depan.

Menurutnya, PERODUA menyasarkan jualan sekurang-kurangnya 30,000 unit kenderaan pada Disember bagi memastikan sasaran 200,000 jualan kenderaan pada tahun ini tercapai.

"Setakat November, PERODUA mencatatkan jualan sebanyak 167,250 unit, iaitu pengurangan sebanyak 14.2 peratus berbanding 194,980 unit dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Berita Harian X