Jumaat, 26 November 2021 | 5:40pm
Volvo S60 T8 Twin Engine padu dari aspek kuasa, reka bentuk dan prestasi.
Volvo S60 T8 Twin Engine padu dari aspek kuasa, reka bentuk dan prestasi.

Tork luar biasa Volvo S60 T8 Twin Engine

DENGAN 407 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 640 Nm, sudah pasti ia bakal menterjemahkan prestasi yang menakjubkan apatah lagi dengan daya kilasan tinggi.

Begitulah yang dirasai penulis ketika memandu uji Volvo S60 T8 Twin Engine. Boleh dikatakan tork yang dimiliki model ini sangat sempurna.

Tidak kira dalam apa jua kedudukan termasuk pegun, saat pedal minyak dipijak, Volvo S60 T8 bergerak laju tanpa ada sebarang sekatan. Pendek kata tiada 'ngauman' langsung yang 'terpacul' keluar dari enjin. Sangat sempurna untuk mereka yang berjiwa muda.

Pasti tidak keterlaluan untuk mengatakan Volvo S60 T8 sangat 'nakal' dari segi kuasa kerana kuasa yang dijana enjin 2.0 liter Drive-E yang digandingkan dengan pengecas turbo dan supercharger serentak, menghasilkan 320 hp dan tork puncak 400 Nm.

Enjin ini memacu roda hadapan menerusi kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik. Kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm dikira setelah diambil kira sekali kuasa yang dihasilkan oleh motor elektrik pada gandar belakang yang membekalkan 87 hp/240 Nm.

Kawalan stereng juga sangat ringan sekali gus memudahkan pengendalian terutama ketika mengambil selekoh.

Seperti Volvo S90, model S60 ini juga diasaskan dari platform generasi baharu Volvo Scalable Product Architecture (SPA).

Platform ini sangat fleksibel dan ia boleh berubah untuk menjadi asas sebagai sebuah sedan kompak seperti S60 ini, berbanding S90 dengan saiz yang lebih besar.

Model sedan Volvo miliki ciri unik sebagai model hibrid plug-in.
Model sedan Volvo miliki ciri unik sebagai model hibrid plug-in.

Begitu juga dengan rupa, dua model ini tidak jauh berbeza. Pada bahagian muka, anda boleh bezakan antara kedua model berkenaan dari lampu nyalaan siang LED 'Tukul Thor' pada S60 mempunyai bahagian 'hulu' yang lebih terkeluar dari kluster lampu hadapan berbanding S90.

Manakala bahagian belakang, plat nombor pendaftaran S60 diletakkan pada bahagian penutup but, berbanding S90 yang diletakkan pada bampar.

Rekaan menarik

Volvo S60 T8 ini hadir dengan liang kemasukan pada bampar yang lebih besar, diffuser lebih garang pada bampar belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid.

Menjengah ke dalam kabin, model ini tampil dengan panel instrumen digital dengan skrin bersaiz 12.3-inci dan juga skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz 9-inci yang berdiri seperti tablet nampak seiras.

Walaupun konsol terowong pada S60 ini kelihatan sangat besar, ruang storan untuk barang sebenarnya sangat kecil.

Suis penghidup enjin juga direka unik, di mana ia bukan dalam bentuk suis tekan yang diletakkan pada papan pemuka, sebaliknya direka sebagai suis putar yang terletak di belakang tombol gear.

Sistem plug-in hybrid pada unit penjana T8 Twin Engine ini adalah antara sistem hibrid yang paling diperhalusi dalam pasaran buat masa sekarang. Setiap kali anda putar suis penghidup enjin, bukan bermakna enjin petrol kereta ini terus hidup.

Selalunya, ia hanya menghidupkan sepenuhnya sistem elektrik dan elektronik kereta ini di mana pada permulaan anda bergerak, ia sebenarnya digerakkan dengan motor elektrik pada gandar belakang. Perjalanan anda akan disambung dengan enjin petrol kereta ini apabila sistem merasakan ia perlu.

Sistem hibrid T8 Twin Engine ini tidak mempunyai motor penghidup untuk menghidupkan enjin petrol, sebaliknya tugas tersebut diambil alih komponen yang dikenali sebagai crankshaft-mounted starter generator (CISG), iaitu motor yang disambungkan kepada aci engkol enjin yang bukan sahaja mampu menghidupkan enjin, malah turut berfungsi untuk mengecas semula elektrik, serta memberikan tujahan tork 150 Nm ketika kereta mula memecut.

Unit CISG yang dipadankan bersepadu dengan enjin serta dibekalkan dengan tork yang kuat ini membuatkan penukaran dari perjalanan menggunakan kuasa elektrik kepada kuasa enjin petrol tidak akan terasa langsung.

Anda hanya akan tahu status penggunaan kuasa ini menerusi paparan instrumen, malah tiada bacaan rpm enjin akan diberikan, tetapi digantikan dengan meter penunjuk penggunaan kuasa.

Enjin terbaik untuk model unggul dengan kejuruteraan Volvo termaju.
Enjin terbaik untuk model unggul dengan kejuruteraan Volvo termaju.

Info:
Volvo S60 T8 Twin Engine

• Harga bermula RM282,540

• Enjin 2.0 liter Drive-E

• Pengecas turbo dan supercharger

• 320 hp dan tork 400 Nm

• Kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik

• Kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm dikira setelah diambil kira sekali kuasa yang dihasilkan oleh motor elektrik pada gandar belakang yang membekalkan 87 hp/240 Nm

• Platform generasi baharu Volvo Scalable Product Architecture (SPA)

• Panel instrumen digital dengan skrin bersaiz 12.3-inci

• Skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz 9-inci

Berita Harian X