Selasa, 23 November 2021 | 12:41pm

Kona Electric: Kereta elektrik pertama Hyundai di Malaysia

KUALA LUMPUR: Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) melancarkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) pertamanya, Hyundai Kona Electric baharu.

Model yang menandakan kejayaan penting HSDM dalam industri automotif itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu Kona Electric Lite (e-Lite) yang ditawarkan pada harga bermula RM149,888; Kona Electric Plus (e-Plus) dari RM169,888; dan Kona Electric Max (e-Max) bermula RM199,888.

Bagi Kona e-Lite, varian ini dilengkapi dengan bateri 39.2 kilowatt/ jam (kWH) dengan pengecas dalaman atau on board charge (OBC), manakala Kona e-Plus pula menggunakan bateri 39.2 kWH dengan 11 kW OBC; dan Kona e-Max dikuasakan oleh bateri 64 kWH dengan 11 kW OBC.

Menurut HSDM, Kona Electric memiliki bateri berkapasiti tinggi yang menyokong jarak pemanduan sehingga 305 kilometer (km) untuk varian e-Lite dan e-Plus, manakala e-Max mencecah 484 km.

Dilengkapi dengan ciri pengecas pantas DC, model ini berkemampuan dicas dari paras bateri sifar kepada 80 peratus dalam masa kurang sejam.

Sebagai alternatif, pengecas bateri konvensional AC boleh digunakan dengan kemampuan pengecasan kira-kira 6.5 jam (e-Lite), 4.5 jam (e-Plus) dan dan 7.5 jam (e-Max) untuk cas penuh.

Lebih menarik, bateri polimer litium-ion dilindungi oleh waranti lapan tahun atau 160,000 km, yang mana dahulu, selain waranti kenderaan selama dua tahun atau 50,000 km (yang mana dahulu).

Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan, berkata, pelancaran Kona Electric adalah maklum balas syarikat ke atas permintaan yang semakin meningkat untuk EV.

"Ia mencerminkan strategi kami menjadi pemboleh ubah utama ke aras transisi EV sebagai elemen penting dalam usaha nyah-karbon industri automotif.

"Strategi ini juga selaras dengan penekanan kerajaan ke arah mobiliti rendah karbon menerusi insentif yang ditawarkan kepada penggunaan EV di bawah Bajet 2022," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung, berkata syarikat itu melihat banyak minat yang ditunjukkan pelanggan ke atas EV.

"Dengan reka bentuk anggun dan halus di tambah dengan ciri berkuasa serta inovatif, Kona Electric baharu dijangka memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan gaya hidup mesra alam sekitar, selesa, selamat dan memudahkan urusan harian.

"Kami mengharapkan maklum balas positif terhadap pelancaran model EV pertama kami di Malaysia," katanya.

Kona Electric dilengkapi dengan sistem SmartSense termaju Hyundai, yang merangkumi pelbagai ciri keselamatan seperti Blind-spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist dan Lane Following Assist.

Dari aspek prestasi, pemandu Kona Electric dapat memanfaatkan pecutan lancar dan pantas dari kedudukan pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 7.6 saat untuk varian e-Max, bersandarkan tork 395 Nm.

Berita Harian X