Jumaat, 10 September 2021 | 8:20pm

Modenas Dominar D400 versi dipertingkatkan RM13,997

KUALA LUMPUR: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperkenalkan varian motosikal 'sports tourer' Modenas Dominar D400 dipertingkatkan yang ditawarkan pada harga bermula RM13,997.

Model dinaiktaraf ini telah menerima beberapa peningkatan teknikal, serta dua pilihan warna baharu berbanding versi asal yang dilancarkan pada tahun 2018 lalu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.

Antara ciri naiktaraf paling menarik pada model versi baharu adalah penyerap hadapan terbalik atau Upside Down (USD) Fork yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Enjin 373cc DOHC dengan teknologi DTS-i penyejukan cecair berkuasa 40PS dan tork 35Nm pula menerima sistem ekzos muncung berkembar baharu.

Dominar D400 naiktaraf ini menjanjikan pengalaman tunggangan yang lebih berkuasa dan lebih selesa.

Model dipertingkatkan ini juga menampilkan cakera brek bersaiz 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang serta dilengkapi sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.

Ia turut dilengkapi penyerap hentakan tunggal Nitrox di belakang yang membolehkan penunggang membuat penalaan suspensi untuk mendapat kualiti tunggangan menepati kehendak masing-masing.

Ciri lain untuk motosikal ini adalah sistem klac Assist and Slipper yang akan membantu ketika pertukaran gear secara mengejut.

Dari aspek penampilan, varian ini juga menerima kemasan tankpad bercorak karbon baharu serta logo Dominar pada tempat duduk belakang.

Ia turut didatangkan dengan dua paparan meter LCD yang kini lengkap dengan petunjuk gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm, serta tahap bahan api.

Lampu hadapan automatik pula dari jenis LED mosaic yang mampu memberikan pencahayaan lebih jelas pada waktu malam serta membolehkan penunggang dilihat dari jarak sejauh 1.5 kilometer (km).

Modenas Dominar 400 akan berada di semua wakil pengedar sah MODENAS mulai bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, berkata motosikal terbaharu jenama nasional itu adalah model yang dinantikan ramai, syarikat yakin ia akan menjadi model yang digemari ramai berdasarkan peningkatan teknikal, gaya baru dan harganya yang berpatutan.

"Modenas Dominar D400 adalah model sports tourer premium paling mampu milik dalam segmennya.

"Bagi mereka yang telah menanti-nantikan kedatangan model ini di Malaysia, saya berterima kasih di atas kesetiaan dan penantian anda semua. Saya yakin penantian itu akan berbaloi bagi anda.

"Dengan harga yang menarik serta suntikan teknologi terkini, motosikal ini pasti akan menjadi sebuah pelaburan yang bijak bagi pembeli," katanya.

Berita Harian X