Rabu, 8 September 2021 | 5:12pm
Kilang pengeluaran kereta PROTON.
Kilang pengeluaran kereta PROTON.

Jualan PROTON dijangka meningkat hingga akhir tahun

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) menjangkakan jualan lebih positif bagi baki tahun ini disokong operasi semula dalam aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport.

PROTON dalam satu kenyataan berkata jualan bermula September hingga Disember dijangka melonjak semula, selepas hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan COVID-19.

"Dari Jun hingga Ogos 2021, PROTON berjaya menjual sebanyak 5,354 unit merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.

"Pengeluaran terhad telah dilaksanakan di kilang Tanjung Malim selepas pengumuman bahawa Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.

"Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan keseluruhan adalah sebanyak 63,637 unit, meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata jumlah jualan sehingga Ogos mencerminkan prestasi tinggi PROTON dalam lima bulan pertama tahun ini.

"Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini," katanya.

Roslan berkata, dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, PROTON juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

"Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada September termasuk pek pemasangan tempatan (CKD) untuk Proton Saga yang kini dijangkakan akan bermula dipasang siap di sana pada akhir Oktober.

"Antara kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

"Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus daripada warga kerja PROTON telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75 peratus pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga telah mendapat vaksin penuh," katanya.

Justeru, katanya, keseluruhan ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.

"Selain dari pelanggan di pasaran Malaysia, pasaran eksport PROTON juga mendapat manfaat dari pembukaan semula aktiviti produksi. Adalah terlalu awal untuk kita ketahui berapa cepat kita dapat penuhi tuntutan langganan yang belum dijelaskan, namun pihak kami berusaha merapatkan jurang saban hari.

"Sebagai tambahan, kejayaan program vaksinasi kami adalah penting demi prestasi bagi baki tahun ini.

"Dengan mempunyai tenaga kerja yang divaksin sepenuhnya, kita dapat memberi jaminan kepada pasaran bahawa PROTON telah mengambil setiap langkah yang diperlukan bagi memastikan pelanggan yang telah mendapatkan vaksinasi penuh turut dilindungi ketika melawat pusat pameran dan servis kami," tambah Roslan.

Berita Harian X