Jumaat, 3 September 2021 | 3:52pm
Kilang pengeluaran Honda Malaysia di Melaka kembali beroperasi di dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kilang pengeluaran Honda Malaysia di Melaka kembali beroperasi di dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Honda Malaysia sedia tingkat semula jualan

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia bersiap sedia mendapatkan kembali momentum perniagaan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini menerusi rancangan memperkenalkan model baharu, inisiatif pembiayaan dan kempen promosi.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo, berkata komitmen itu selaras dengan pembukaan semula industri automotif di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana kilang pengeluaran Honda Malaysia di Melaka dan bilik pameran di pusat pengedaran mula beroperasi.

"Di kilang pengeluaran, syarikat mengambil langkah perlu untuk mengekalkan pengeluaran pada standard tertinggi dan memastikan permintaan pelanggan dipenuhi tepat pada masanya.

"Sebelum memulakan operasi, kami telah melaksanakan perancangan teliti dan langkah ketat untuk memastikan semua langkah pencegahan dipatuhi bagi melindungi pelanggan dan pekerja kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Chujo berkata, dalam rancangan untuk mengembalikan momentum, Honda Malaysia membariskan model baharu yang menampilkan teknologi termaju generasi akan datang Honda yang akan dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya, pelancaran baharu itu memberikan pelanggan lebih banyak pilihan model baharu dalam tempoh pengecualian cukai jualan yang akan berakhir 31 Disember ini.

"Sebagai tambahan kepada pengurangan harga dengan insentif cukai, Honda Malaysia membawakan promosi Manfaat Khas bagi pembelian kereta Honda bermula 1 hingga 30 September ini. Kempen ini sempena sambutan Hari Malaysia menawarkan manfaat bernilai sehingga RM6,000.

"Pada masa sama, Honda Malaysia juga memperkenalkan inisiatif kewangan dikenali Program Pembiayaan Khas yang berlangsung sehingga 31 Disember ini bagi mempermudahkan pemilikan kereta Honda.

"Inisiatif pembiayaan ini membolehkan pelanggan membeli kereta baharu dengan bayaran ansuran bulanan lebih rendah ketika peringkat awal pemilikan kereta," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, Honda Malaysia juga menawarkan kemudahan untuk pelanggan membuat pra tempahan kereta Honda pilihan menerusi Platform Pra Tempahan Dalam Talian.

"Boleh didapati di laman web rasmi Honda Malaysia dan aplikasi HondaTouch, platform ini membolehkan pelanggan membuat pra tempahan sebarang model Honda dengan yuran minimum hanya RM99," katanya.

Chujo berkata, dari segi prestasi penjualan model, City yang menjadi antara model sedan segmen B kegemaran rakyat Malaysia, menyumbang 35 peratus kepada jumlah penjualan Honda Malaysia pada Ogos 2021.

"Civic, Accord, HR-V dan CR-V mengekalkan teraju pasaran segmen dengan penguasaan pasaran masing-masing 72 peratus, 36 peratus, 71 peratus dan 24 peratus.

"Syarikat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sokongan kukuh terhadap jenama Honda terutamanya pada masa-masa sukar ini," katanya.

Berita Harian X