Selasa, 31 Ogos 2021 | 1:46pm
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari

MARii tawar teknologi bantu industri automotif pulih

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) komited untuk membantu penggiat industri mendepani cabaran pemulihan akibat pemberhentian operasi selama dua bulan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata MARii akan membantu industri mendigitalkan operasi, meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan menawarkan penyelesaian dalam meningkatkan kebolehkerjaan menerusi operasi berasaskan awan.

"Sejak 2015, MARii membangunkan teknologi Industri 4.0 untuk kegunaan pemain tempatan. Teknologi ini merangkumi pelbagai aplikasi untuk mendigitalkan keseluruhan rangkaian aktiviti dalam industri.

"Ini termasuk penyewaan dan latihan reka bentuk berbantukan komputer (CAD) melalui Design Engineering Programme (DEP), pembuatan bahan tambah, robotik autonomi, simulasi komputer, realiti maya, perancangan sumber perusahaan dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Madani berkata, bagi mempercepat penembusan teknologi dalam perniagaan, pelbagai program modal insan tersedia untuk pemilik perniagaan dan pekerja di semua peringkat meliputi perluasan pemikiran, pengeluara 'lean', pembuatan pintar, latihan pemasaran digital, transformasi bengkel dan bidang teknologi lain.

Beliau berkata, bagi memacu transformasi digitalisasi operasi perniagaan, MARii menawarkan pelbagai platform untuk melaksanakan pengurusan dan operasi berasaskan data di dalam perniagaan masing-masing.

Katanya, platform itu adalah seperti MARii Enterprise Resource Planning (MARii ERP) yang baru diumumkan, pengkomputeran awan berprestasi tinggi dan platform digital lain yang dapat disesuaikan dengan keperluan industri.

"Kesimpulannya, penggiat industri dapat memanfaatkan pelbagai teknologi yang disediakan oleh MARii untuk mengoptimumkan sumber mereka.

"Ia juga dapat memastikan tenaga kerja, infrastruktur dan kelengkapan berfungsi dan dapat menambah nilai pengeluaran mereka dan tidak dibazirkan kepada aktiviti tanpa nilai yang dapat dielakkan melalui digitalisasi," katanya.

Madani menjelaskan, MARii juga adalah badan penilai Industri4WRD Readiness Assessment (Industri4WRD-RA), sebuah program komprehensif untuk membantu syarikat menilai kemampuan dan kesediaan mereka untuk menggunakan teknologi dan proses Industri 4.0.

Dalam pada itu, MARii menggesa semua pemilik perniagaan untuk menghubungi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membincangkan vaksinasi pekerja melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS).

"Amat penting bagi penggiat industri menyemak strategi operasi mereka agar kita tidak lagi menjadi mangsa kepada gangguan operasi, terutama apabila membabitkan operasi fizikal di tempat kerja," katanya.

Berita Harian X