Selasa, 31 Ogos 2021 | 1:37pm
Mercedes-Benz Malaysia (MBM)
Mercedes-Benz Malaysia (MBM)

Kekurangan cip global tak jejas operasi MBM

KUALA LUMPUR: Situasi kekurangan cip semikonduktor di peringkat global masih dapat dikendalikan Mercedes-Benz Malaysia (MBM), kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpangnya, Michael Jopp.

Beliau berkata, walaupun kekurangan cip komputer menjejaskan industri automotif di seluruh dunia, situasi bekalan dalam negara untuk jenama Mercedes-Benz masih dalam keadaan baik dan terkawal buat masa ini.

"Situasi (kekurangan cip semikonduktor) masih dapat dikendalikan dengan baik oleh kami buat masa ini. Keadaannya kekal terkawal dan kami masih memiliki unit tersedia untuk penghantaran segera kepada pelanggan.

"Sebaliknya, kesan penutupan bilik pameran akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh lebih dominan berbanding kekurangan cip komputer," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang meja bulat media secara maya bersempena pelancaran model baharu Mercedes-Benz E-Class, baru-baru ini.

Bulan lalu, Daimler AG iaitu prinsipal jenama Mercedes-Benz berkata kekurangan cip semikonduktor global dijangka menjejaskan jualan kenderaan pada separuh kedua tahun ini.

Bagaimanapun, pengeluar kenderaan premium Jerman itu menegaskan prospek margin keuntungan tahun ini kekal tidak berubah susulan isu yang melanda industri automotif dunia itu.

Dalam perkembangan lain, Jopp berkata, MBM merancang untuk melancarkan lebih banyak model baharu pada suku keempat tahun ini, namun ranccangan itu bergantung kepada situasi pasaran dan sekatan pergerakan yang mungkin berterusan.

"Baru-baru ini, MBM melancarkan model Mercedes-Benz E-Class baharu dan permintaan terhadap model berkenaan menggalakkan.

"Bagi model baharu lain, semua pelancaran yang dirancang dalam tempoh tiga bulan terakhir 2021 bergantung kepada persekitaran domestik yang memiliki hubung kait dengan sekatan pergerakan.

"Jika semuanya berjalan lancar, kami yakin akan ada beberapa pelancaran baharu sepanjang baki tahun ini," katanya sambil menjelaskan bahawa tempahan bagi model E-Class yang diimport sepenuhnya (CBU) kekal memberangsangkan ketika ini.

MBM melancarkan model dipertingkatkan E-Class paling laris Mercedes-Benz pada akhir Julai, dua bulan selepas memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium, GLE 450 4MATIC AMG ke pasaran tempatan.

Bagi model E-Class, varian E 200 Avantgarde dan E 300 AMG Line ditawarkan pada harga jualan tanpa insurans masing-masing RM326,943 dan RM375,432.

Berita Harian X