Khamis, 4 March 2021 | 1:52pm
PERODUA melancarkan SUV kompak baharu, Ativa
PERODUA melancarkan SUV kompak baharu, Ativa

Ativa dijangka lonjak jualan keseluruhan PERODUA

KUALA LUMPUR: MIDF Research mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) berkembang 7.6 peratus tahun ke tahun kepada 237,000 unit tahun ini, lebih konservatif berbanding sasaran pengeluar kereta itu sendiri.

Dalam satu nota hari ini, menurutnya jumlah sasaran PERODUA untuk 2021 adalah sebanyak 240,000 kenderaan yang dijangka menguji rekod tertingginya sebelum ini pada 2019, berkemungkinan turut mengambil kira kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Ativa yang dilancarkan semalam.

"Menurut pihak pengurusan, PERODUA telah menerima 5,000 tempahan sejak 19 Februari berbanding sasaran jualan sebanyak 3,000 unit sebulan, berpotensi menjadikan Ativa sebagai penyumbang terbesar keempat bagi Perodua," menurut firma penyelidikan itu.

Menurut MIDF Research, penerima manfaat utama susulan pelancaran Ativa dan unjuran TIV Perodua yang kukuh itu adalah UMW Holdings Bhd dan MBM Resources Bhd, dengan masing-masing memiliki kepentingan sebanyak 38 peratus dan 25 peratus dalam PERODUA.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengesahkan saranan 'positif' kepada sektor automotif dan saranan 'beli' kepada UMW Holdings dan MBM Resources dengan harga sasaran yang tidak berubah, masing-masing pada RM4.30 dan RM4.10.

"Pengedar dan pembuat alat ganti PERODUA, MBM mendapat manfaat besar daripada pertumbuhan TIV Perodua," katanya.

Pada Rabu, PERODUA melancarkan Ativa dengan harga bermula daripada RM61,500 bagi varian X di atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia, RM66,100 bagi varian H dan RM72,000 bagi varian AV utama.

-BERNAMA

Berita Harian X