Selasa, 2 March 2021 | 12:35pm
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah

Penguasaan pasaran PROTON tertinggi dalam tujuh tahun

KUALA LUMPUR: PROTON mencatatkan jualan 11,873 unit kenderaan bulan lalu, sekali gus menguasai 27.1 peratus pasaran yang juga tahap tertingginya sejak September 2013.

Secara keseluruhan, PROTON mengakhiri Februari di tangga kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada Januari lalu.

Berbanding bulan sama tahun lalu, jumlah jualan meningkat 19.9 peratus manakala jumlah jualan terkumpul dua bulan pertama hanya 643 kurang berbanding dengan tahun lalu.

Model Proton X50 yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu mendapat sambutan amat memberangsangkan apabila lebih 30,000 tempahan diterima sebelum akhir tahun, namun masa menunggu

penghantaran meningkat akibat kelewatan yang dialami di barisan pengeluaran dan fokus syarikat kepada kualiti.

Selepas 3,345 unit dihantar pada Februari, sebanyak 8,141 unit kini berada di tangan pembeli dan kadar bekalan semakin mendekati jumlah permintaan.

Pencapaian ini adalah jumlah terbesar bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam sejarah Malaysia, sekali gus membolehkan Proton X50

diberi gelaran SUV paling laris bagi segmennya dan secara keseluruhan.

Ditambah jualan sebanyak 1,475 unit Proton X70, syarikat berjaya menjual sebanyak 4,820 unit SUV pada bulan Februari, keputusan yang terbaik pernah tercapai dalam sejarah pasaran automotif negara.

Namun, Proton Saga kekal sebagai model paling laris apabila sebanyak 4,217 dijual bulan lalu, ketika model sedan segmen-A ini kekal menarik perhatian pembeli dengan kombinasi ciri praktikal, rupa bentuk menarik dan kadar nilai wang yang tinggi.

Model Proton lain juga menunjuk prestasi yang tinggi, dengan gelaran sedan segmen-B terlaris disandang oleh Proton Persona selepas 1,818 unit dijual, mengatasi saingan daripada model yang lebih baharu.

Proton Exora pula kekal di tangga teratas bagi MPV segmen-C manakala Proton Iriz di tempat ketiga bagi hatchback segmen-B.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata Februari adalah bulan yang penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia tetapi ia memberi keputusan cemerlang bagi PROTON.

Katanya, atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat berjaya menghasilkan lebih anyak bkenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan.

"Ini amat penting kerana kami perlu menghantar kenderaan ke pembeli secara konsisten untuk mengelakkan situasi kelam-kabut apabila insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berakhir pada 30 Jun tahun ini.

"Segmen automotif akan terus menarik perhatian pembeli pada 2021 dengan banyak pelancaran baharu daripada pelbagai

jenama, sekali gus mendorong saingan antara PROTON dan syarikat lain.

"Namun, kami akan terus bersikap berhati-hati dalam semua usaha untuk mengelakkan kadar jangkitan meningkat semula," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X