Khamis, 25 Februari 2021 | 8:39pm
Geely Auto dan Volvo Cars akan mengekalkan struktur korporat berasingan
Geely Auto dan Volvo Cars akan mengekalkan struktur korporat berasingan

Geely Auto, Volvo Cars tak jadi bergabung

GOTHENBURG: Geely Automobile Holdings Ltd (Geely Auto) dan sekutunya, Volvo Cars membatalkan penggabungannya kerana menjangkakan adalah lebih kukuh beroperasi sebagai entiti berasingan.

Justeru, kedua-dua pengeluar itu akan mengekalkan struktur korporat berasingan selain bekerjasama dengan lebih dekat dalam aspek teknologi elektrik, perisian dan pemanduan sendiri, demikian menurut Geely Auto dan Volvo Cars dalam satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, walaupun ia tidak lagi meneruskan kombinasi seperti yang diumumkan tahun lalu, langkah baharu mungkin akan dilaksanakan.

"Ini mengenai cara mengekalkan momentum tertinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars, Hakan Samuelsson dalam satu temubual.

"Penggabungan bukannya selalu positif. Anda berisiko kehilangan momentum kerana terlalu banyak fokus dalaman."

Geely Auto dan Volvo Cars juga akan memindahkan aktiviti trenkuasa ke dalam syarikat berasingan yang mana akan meningkatkan fokus ke atas pembangunan kenderaan elektrik (EV)., kata Samuelsson.

Penyertaan Daimler AG dalam perniagaan akan menjadi positif, katanya.

Saham Geely Auto melonjak sehingga 3.5 peratus pada sesi dagangan awal di Hong Kong pada Khamis.

Langkah itu adalah contoh terbaharu yang menunjukkan syarikat automotif mengubah perniagaan daripada pembakaran dalaman kepada kenderaan yang dipacu bateri.

Bulan ini, Daimler berkata, ia akan melupuskan unit trak selepas memilikinya selama seabad di bawah satu bumbung sama dengan operasi kereta, manakala Volkswagen AG mempertimbang untuk menjadikan Porsche sebagai syarikat senaraian awam.

Volvo Cars berkemungkinan mengemukakan langkah sendiri selepas penggabungan dengan Geely Auto tidak menjadi kenyataan.

Pada 2018, ia mengemukakan rancangan untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) selepas maklum balas awal pelabur menunjukkan penilaian lebih rendah daripada jangkaan.

"Penting untuk memiliki kemungkinan menjangkaui pasaran ekuiti sebagai syarikat berasingan," kata Samuelsson.

Tiada keputusan untuk memperbaharui cadangan IPO.

Syarikat induk Geely Auto, Zhejiang Geely Holding mengambilalih Volvo daripada Ford Motor Co dengan nilai hanya AS$1.8 bilion (RM7.27 bilion) pada 2010, selepas pengeluar Amerika Syarikat (AS) pulih dari krisis kewangan global.

Analisis Risikan Bloomberg menjangkakan nilai Volvo berada pada sekitar AS$8.1 bilion (RM32.7 bilion) hingga AS$11.6 bilion (RM46.9 bilion) pada Disember.

Shufu yang juga Pengasas dan Pengerusi Geely Holding, menjalinkan pakatan dengan beberapa syarikat untuk kekal mengikuti perubahan besar dalam industri iaitu elektrifikasi dan automasi.

Awal tahun ini, Geely bersetuju menjalin kerjasama dengan enjin pencarian utama iaitu Baidu Inc; rakan pengeluar Apple Inc dari Taiwan, Foxconn Technology Group; dan Tencent Holdings Ltd.

- Bloomberg

Berita Harian X