Khamis, 25 Februari 2021 | 2:02pm
Volvo XC40 Recharge T5 R-Design
Volvo XC40 Recharge T5 R-Design
Volvo XC40 Recharge T5 R-Design
Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design ke pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR: Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan model hibrid plug-in (PHEV) pemasangan tempatan (CKD) terbaharunya, Volvo XC40 Recharge T5 R-Design ke pasaran Malaysia.

Model pelengkap bagi semua PHEV CKD Volvo yang boleh didapati di pengedar Volvo yang sah di seluruh negara bermula hari ini, ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM242,197.04.

Dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, buat pertama kalinya Volvo XC40 Recharge T5 R-Design dilengkapi dengan enjin tiga silinder turbocharged 1.5 liter dengan rangkaian kuasa Drive-E, dengan motor elektrik yang dipasang pada kotak gear automatik dual-clutch tujuh-kelajuan bagi menggerakkan roda hadapan.

Direka untuk bandar dan menjaga alam sekitar, binaan enjin berkembar itu memberikan pemacuan yang lebih mampan, dengan pelepasan karbon dioksida hanya 50 gram setiap kilometer, di samping mengekalkan kemewahan dan prestasi Volvo.

Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain, berkata pengenalan model PHEV Volvo XC40 Recharge T5 R-Design menjadikan syarikat itu selangkah lebih dekat untuk mencapai cita-citanya bagi mengurangkan pelepasan karbon bagi setiap kereta sebanyak 40 peratus.

"Volvo XC40 Recharge T5 R-Design adalah antara kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaik kami sebagai kenderaan elektrik hibrid plug-in dan seterusnya melengkapkan barisan kenderaan PHEV kami.

"Pelancaran model ini menandakan kami telah bersedia untuk cara hidup yang lebih hijau pada masa yang akan datang. Dengan demikian kami akan terus berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari," katanya ketika pelancaran secara maya model itu, hari ini.

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design menampilkan hasil gabungan kuasa sebanyak 262 kuasa kuda (hp) dan tork puncak 425 Nm, sementara tork 160 Nm dan kuasa setinggi 82 hp pula dihasilkan menerusi motor elektrik untuk memberikan pecutan serta merta.

Dengan menggunakan enjin petrol, Volvo XC40 Recharge T5 R-Design mampu memecut 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 7.3 saat dan kelajuannya dihadkan pada 180 km/j setelah pengumuman dibuat oleh syarikat pada bulan Mac 2020 yang lalu.

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design yang dihasilkan di Sweden dan dipasang di Malaysia itu, dilengkapi dengan sistem teknologi keselamatan, kesalinghubungan dan infotainmen terbaik yang turut dimiliki pada model Volvo yang lain.

Ia juga dihasilkan dengan kawalan dan kepakaran berkualiti tinggi yang sama daripada Volvo, dengan meneruskan komitmen mereka untuk mengutamakan keselamatan buat pelanggannya dan juga memberi mereka kebebasan untuk memandu secara peribadi, lestari dan selamat.

Sebahagian teknologi dalam Volvo XC40 Recharge T5 R-Design termasuk ciri keselamatan dan bantuan kepada pemandu seperti sistem Pilot Assist, City Safety, Run-off Road protection and mitigation dan Cross Traffic alert dengan sokongan brek.

Ciri itu akan membantu meningkatkan keyakinan pemandu dan meningkatkan keselesaan untuk keseluruhan pemanduan yang lebih selamat.

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design menawarkan lima mod pemanduan berbeza untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik iaitu Hibrid (tersedia), Tulen, Off-road, Berkuasa dan Individu.

Dari segi luaran, Volvo XC40 Recharge T5 R-Design hampir serupa dengan varian XC40 yang lain, menampilkan reka bentuk takrifan kecantikan Skandinavia yang elegan dengan mempamerkan imej Volvo dan gabungan penampilan yang cantik selari dengan keperluan dan fungsinya.

Mengetengahkan penampilan bergaya dan moden, XC40 yang baharu mengekalkan reka bentuknya yang berani dan ekspresif, menonjolkan hiasan khas trim R-Design, yang membolehkan pemandu lebih menyerlah ketika menjelajah di kota raya tanpa bersaing dengan kenderaan yang lain.

Model ini juga dilengkapi dengan soket pengecas di bahagian hadapan kiri, selain tempat penyimpanan di kabin telah direka untuk menyediakan ruang penyimpanan yang lebih praktikal di bahagian pintu pemandu, termasuk cangkuk yang boleh ditarik untuk menggantung barang.

"Dalam aspek keselamatan, reka bentuk dan prestasi untuk model ini adalah sama seperti dengan model Volvo yang lain. Melalui dedikasi pasukan kami, kami yakin kereta ini memenuhi ciri yang akan memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

"Pada masa yang sama, kami berharap pelancaran Volvo XC40 Recharge T5 R-Design akan memberikan pilihan yang lebih lestari bagi rakyat Malaysia dan mendorong mereka untuk berfikir supaya sama-sama mengambil langkah aktif untuk lebih lestari sehingga kita dapat mengekalkan persekitaran dan masa depan kita, " tambah Nalin.

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design ditawarkan dengan lima warna yang berbeza iaitu Blackstone, Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Glacier Silver Metallic dan Coral Red Metallic.

Ia Volvo juga boleh ditempah secara dalam talian melalui laman web VCM sebagai alternatif yang lebih selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Berita Harian X