Ahad, 21 Februari 2021 | 2:25pm
Foxconn Technology Group - Foto Bloomberg
Foxconn Technology Group - Foto Bloomberg

Rakan usaha sama Geely keluarkan kereta elektrik

TAIPEI: Platform kereta elektrik (EV) Foxconn Technology Group dijangka melancarkan kenderaan sedemikian akhir tahun ini, kata pegawai syarikat itu.

Foxconn bulan lalu menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dengan pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group Co.

Perkembangan itu mencerminkan kemajuan besar dicapai firma Taiwan itu untuk menembusi sektor automotif.

Dua kenderaan ringan yang direka bentuk menggunakan platform Foxconn akan dilancarkan pada suku keempat ini, kata Young Liu, Pengerusi anak syarikatnya, Hon Hai Precision Industry Co kepada pemberita.

Syarikat itu juga akan melancarkan bas elektrik dalam tempoh masa sama, katanya.

Foxconn meninjau untuk mengukuhkan keupayaan automotif pada ketika syarikat teknologi, termasuk pelanggannya sendiri, Apple Inc berhasrat untuk berkembang dalam sektor kenderaan.

Oktober lalu, Foxconn memperkenalkan casis EV pertama dan platform perisian yang disasarkan untuk membantu syarikat automotif mengeluarkan model ke pasaran lebih pantas.

Liu berkata, usaha sama dengan Geely ketika ini sedang berunding bersama syarikat permulaan, Faraday Future dan syarikat lain berhubung kerjasama EV.

Dalam pada Foxconn akan menyaksikan pendapatan daripada penerokaannya dalam sektor automotif akan berkembang tahun ini, Liu menjangkakan perniagaan berkaitan EV hanya mula menjana sumbangan bermakna kepada jualan keseluruhan kumpulan pada 2023.

Dalam perkembangan lain, Liu berkata, isu kekurangan cip hanya memberikan impak terhad kepada pelanggan utama syarikat dan ia tidak menjangkakan masalah pada suku kewangan semasa, yang kebiasaannya adalah musim pengeluaran yang lengang.

Foxconn akan meneruskan usahanya untuk membeli satu kemudahan wafer lapan inci, selepas ia gagal dalam bidaannya untuk membeli SilTerra Malaysia Sdn Bhd kepada konsortium lain.

Liu berkata, Foxconn masih lagi mahu membina kerjasama dengan pengeluar cip Malaysia itu.

-Bloomberg

Berita Harian X