Jumaat, 19 Februari 2021 | 1:28pm
(Gambar fail) Ketua Komunikasi Koporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi (kiri) dan Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl bergambar bersama BMW The 8. - Foto: NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON
(Gambar fail) Ketua Komunikasi Koporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi (kiri) dan Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl bergambar bersama BMW The 8. - Foto: NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

BMW kuasai 52 peratus pasaran kenderaan premium Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia menjual 11,016 unit kenderaan dari portfolio BMW, MINI dan BMW Motorrad tahun lalu, sekali gus mengukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen automotif premium di Malaysia dengan penguasaan lebih 52 peratus.

Lebih menarik, jualan keseluruhan yang direkodkan BMW Group Malaysia merangkumi 87 peratus adalah model yang dipasang di dalam negara.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata syarikat jenama premium itu BMW Group Malaysia bingkas mengatasi cabaran tahun lalu termasuk kemelesetan yang dialami oleh industri automotif global dengan memperkenalkan 25 varian model yang meliputi tiga jenama utamanya dengan empat daripadanya adalah kenderaan elektrik (EV).

"Kedudukan BMW Group Malaysia sebagai peneraju dalam arena mobiliti elektro juga dibuktikan melalui penyerahan lebih daripada 2,200 unit EV di seluruh negara kebanyakannya disumbang oleh model BMW 5 Series dan BMW 7 Series.

"Kejayaan di Malaysia turut mencerminkan kejayaan BMW Group di persada antarabangsa, setelah menyerahkan lebih daripada 2.3 juta unit kenderaan di seluruh dunia; 190,000 daripada angka ini adalah adalah EV oleh jenama BMW dan MINI," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hoelzl menjelaskan, BMW Group Malaysia juga telah mencatat pencapaian yang terbaik dalam 'Net Promoter Scoring' bagi perihal kepuasan pelanggan, di mana lebih daripada 90 peratus pengguna memberi maklum balas positif mengenai pengalaman mereka membabitkan jenama BMW dan MINI tahun lalu.

"Di Malaysia, jenama BMW telah merekodkan 8,903 pemilik baharu tahun lalu, sekali gus mendahului keseluruhan segmen premium di Malaysia dengan penguasaan pasaran lebih 47 peratus.

"Penyerahan unit kenderaan ini diterajui oleh portfolio BMW 3 Series dengan penyerahan lebih daripada 2,500 unit; dan 1,400 unit daripadanya disumbang oleh BMW 320i Sport.

"Ia disusuli dengan BMW 5 Series dengan penyerahan melebihi 1,600 unit kenderaan; 900 unit daripadanya terdiri daripada jentera EV, BMW 530e," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, BMW X Family mencatat penyerahan berjumlah lebih daripada 39 peratus berbanding seluruh unit kenderaan yang diserahkan oleh BMW pada 2020, yang melangkaui 3,200 unit kenderaan dalam portfolio berkenaan yang berjaya diserahkan dalam tempoh satu tahun.

"Kejayaan ini dibelakangi oleh model-model BMW X1, yang mempunyai lebih daripada 1,000 pemilik baharu tahun lalu. Portfolio BMW M turut mencerminkan kecemerlangan jenama ini dengan penyerahan melebihi 80 unit kenderaan," katanya.

Hoelzl berkata, MINI Malaysia pula berjaya menyerahkan 987 unit kenderaan pada tahun lalu, mewakili perkongsian penguasaan pasaran lebih lima peratus dalam segmen premium Malaysia.

"Penyerahan ini didahului oleh model MINI Countryman yang paling laris dengan lebih daripada 47 peratus disumbang oleh MINI Cooper S Countryman," katanya.

Dalam pada itu, BMW Motorrad Malaysia telah mencatat pencapaian yang memberangsangkan sepanjang tahun 2020 dengan penyerahan berjumlah 1,126 unit, melangkaui angka tahun 2019.

"Penyumbang utama terhadap pertumbuhan ini ialah segmen Kembara (Adventure), yang menyaksikan penyerahan melebihi 670 unit kenderaan, sekitar 300 daripadanya terdiri daripada jentera BMW R 1250 GS Adventure," katanya.

Berita Harian X