Jumaat, 19 Februari 2021 | 11:50am
Gambaran tidak rasmi Perodua D55L
Gambaran tidak rasmi Perodua D55L

Perodua D55L dibuka untuk tempahan

RAWANG: Perodua D55L, model keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) paling canggih setakat ini dibuka untuk tempahan bermula hari ini.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) terkini yang ditawarkan dengan tiga varian iaitu X, H dan AV ditawarkan pada harga tentatif atas jalan sebelum insurans antara RM62,500 dan RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

"Perodua D55L model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Antara ciri utama D55L adalah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA).

Sistem ASA canggih dan terkini yang terdapat pada semua varian itu mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa, selain mampu mengesan kenderaan dua roda.

Turut terdapat pada semua varian adalah Lane Departure Warning and Prevention, manakala varian AV didatangkan dengan Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Menerusi penawaran ciri itu, Perodua D55L menjadi model PERODUA pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

Zainal Abidin berkata, selari dengan matlamat PERODUA untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada pelanggan, Perodua D55L AV menjadi kenderaan Autonomi Tahap 2 yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua.

"Kenderaan SUV kekal popular dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian," katanya.

Perodua D55L juga menjadi kenderaan turbo pertama PERODUA, selari dengan trend 'downsizing' global.

Ia juga menjadi model PERODUA pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 kilometer seliter (km/l), terbaik dalam kelasnya.

Lampu hadapan LED terdapat pada semua varian, manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam, panel meter TFT 7-inci serta sistem infotainment skrin sesentuh 9-inci dengan 'voice recognition'.

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue – varian H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red dengan tiga warna terakhir adalah baharu buat PERODUA.

Varian AV boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam.

PERODUA menawarkan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer bagi Perodua D55L.

Berita Harian X