Khamis, 18 Februari 2021 | 1:21pm
Proton Iriz R3
Proton Iriz R3
Proton Saga R3
Proton Saga R3
Proton Persona Edisi Hitam
Proton Persona Edisi Hitam
Proton Exora Edisi Hitam
Proton Exora Edisi Hitam

PROTON tampil empat model versi istimewa

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) memperkenalkan empat barisan edisi hitam istimewa baharu ke pasaran tempatan, merangkumi Proton Saga R3, Iriz R3, Persona Edisi Hitam dan Exora Edisi Hitam.

Bagi Proton Saga R3 edisi terhad, model sedan pilihan rakyat Malaysia itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM42,300, manakala Iriz R3 pula RM52,900.

Versi terhad Proton Persona dan Exora Edisi Hitam pula masing-masing ditawarkan pada harga RM54,700 dan RM67,800.

Pelancaran empat model terbabit diumumkan secara maya menerusi laman Facebook rasmi PROTON, Proton Cars Malaysia.

Pengeluaran terhad bagi semua model yang baharu diperkenalkan itu memberikan moniker Edisi Hitam (Persona dan Exora) dan Edisi Terhad R3 (Iriz dan Saga).

Ia dicipta untuk memperluaskan lagi penampilan setiap model, di samping menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Menurut PROTON, model Persona dan Exora Edisi Hitam menambahkan gaya dan kemewahan pada kenderaan yang biasanya terjual berikutan ciri praktikal dan keselesaannya.

Seperti nama yang dicadangkan, ia ditawarkan dengan warna hitam dan emas secara halus menyerlahkan lagi bampar dan roda aloi.

Di samping gaya dan kemewahan sebagai tujahan utama untuk model Edisi Hitam, Proton Iriz dan Saga R3 Edisi Terhad meraikan kejayaan Jabatan Sukan Permotoran PROTON.

Lencana R3 sentiasa dikhususkan untuk model PROTON paling sporty dan kedua-dua Iriz serta Saga menjadi calon yang paling sesuai untuk moniker itu.

Setiap kereta dicat dengan warna hitam dan dihiasi dengan warna yang dipakai oleh R3 yang tersendiri pada kereta lumba PROTON.

Bagi Iriz, ia dilengkapi dengan roda aloi 16-inci R3 sementara Saga pula dilengkapkan dengan roda aloi 15-inci kemasan kelabu matte.

Model itu ditawarkan dengan kit badan R3 sporty lengkap pada luaran kereta manakala bahagian dalaman berwarna hitam-kuning yang unik, tempat duduk kulit dan karpet R3 membolehkan suasana tersendiri dengan penampilan sporty.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Roslan Abdullah, berkata PROTON memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dengan pelancaran empat model Edisi Istimewa.

"Produk keluaran Malaysia ini menyasarkan pembeli kereta tempatan dan menjadi peringatan bahawa PROTON mempunyai keupayaan sebagai pengeluar kereta 'servis sepenuhnya' yang boleh melakar, membuat dan membina kereta sendiri bermula dari sekeping kertas kosong," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X