Khamis, 18 Februari 2021 | 12:09pm
Triumph Trident 660 ditawarkan pada harga RM43,900.
Triumph Trident 660 ditawarkan pada harga RM43,900.

Triumph Trident 660 sarat komponen premium, canggih

KUALA LUMPUR: Fast Bikes (Triumph Motorcycles Malaysia), pengedar sah motosikal jenama Triumph memperkenalkan motosikal naked sarat dengan mekanikal dan teknologi canggih, Triumph Trident 660 ke pasaran Malaysia.

Apa yang menarik, meskipun model ini akan berada di bilik pameran mulai Sabtu ini, sebanyak 50 unit sudah ditempah pelanggan.

Tidak hanya tampil dengan imej mempesona, Triumph Trident 660 ditawarkan pada harga mampu milik iaitu bermula RM43,900 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) dan anda perlu menambah hanya RM1,000 untuk pilihan warna premium.

Triumph Trident 660 ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu dua warna standard terdiri daripada Crystal White dengan jalur grafik Diablo Red dan Jet Black serta Sapphire Black dengan grafik Aluminium Silver dan kemasan Diablo Red.

Nak lagi mengancam dan agresif, anda boleh memilih dua pilihan dwi-warna premium iaitu Silver Ice/Diablo Red dengan logo Triumph di atas tangki dan Matt Jet Black/Matt Silver Ice yang lebih gelap dan garang.

Triumph Trident 660 tampil dengan pelbagai kelebihan dan pastinya jentera yang dimiliki iaitu enjin tiga silinder sebaris menawarkan kuasa maksimum 80 kuasa kuda (hp) pada 10,250 rpm dan tork puncak pula 64Nm pada 6,250 rpm.

Lebih menonjol dari segi kuasanya, 90 peratus daripada tork maksimum berada pada julat rpm yang luas.

Kuasa enjin ini dihantar melalui kotak gear enam kelajuan dengan nisbah gear telah dipilih khas untuk memanfaatkan julat tork serta kuasa enjin tiga silinder ini dengan sepenuhnya.

Pemilik model ini juga boleh menambahkan aksesori "quickshifter" (dijual berasingan) untuk menukar gear tanpa menggunakan klac untuk tunggangan yang lebih sporty dan agresif.

Selain itu, motosikal 'naked' ini hadir dengan klac jenis 'slip and assist' dengan 'ngauman' pula diperkemaskan dengan bunyi ekzos enjin tiga silinder yang unik.

Bagi mereka yang berketinggian sederhana, sudah pasti Triumph Trident 660 ini amat 'secocok' dengan anda. Apa ada hal! Ketinggian tempat duduk hanya 805 milimeter (mm) sahaja, manakala berat kering 189 kilogram.

Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu berat. Pasti elemen ini memudahkan pengendalian mereka bersaiz 'kecil' tetapi mengetengahkan perwatakan 'ranggi'. Anda yang tidak 'hensem' atau 'cun' akan menjadi menarik dengan perwatakan unik dan gaya yang tersendiri Triumph Trident 660.

Dengan harga bermula RM43,900, banyak fungsi yang pemilik akan nikmati termasuk teknologi terbaharu di dalam kelasnya yang dipasang sebagai ciri standard.

Antaranya, mod tunggangan 'Road' serta 'Rain', kawalan cengkaman (traction control) boleh laras, pendikit (throttle) jenis 'ride-by-wire' serta panel meter pelbagai fungsi jenis TFT berwarna baharu dengan aksesori tambahan 'My Triumph Connectivity System'.

Panel meter serba baharu ini menggunakan skrin jenis TFT-LCD. Ia boleh dipasangkan dengan aksesori tambahan My Triumph Connectivity System (yang dijual berasingan).

Sistem ini akan menyambungkan telefon pintar penunggang melalui Bluetooth dan memberikan fungsi pemaparan navigasi, pengawalan kamera GoPro, kawalan muzik, serta kawalan panggilan telefon yang dikawal melalui butang yang diletakkan pada 'handle bar' sebelah kiri.

Justeru, penunggang dapat mengawal segala fungsi terbabit tanpa melepaskan gengamannya daripada handle bar.

Fungsi unik 'Raja Naked Middleweight' ini belum berakhir!, Malah ia lengkap dengan semua lampu LED, Sistem Brek Anti-kunci (ABS) dwi-arus (dual-channel), pengendalian yang sporty, lincah dan dinamik yang memberikan keyakinan serta casis serba baharu dengan reka bentuk ergonomik yang selesa.

Antara komponen-komponen yang menonjolkan ciri bergaya model ini termasuk roda aloi lima cabang, tangki minyak berkapasiti 14 liter yang berlekok, lengan ayun baharu, serta lampu belakang jenis LED yang baharu.

Selain itu, fungsi kawalan cengkaman pula boleh ditutup dan diaktifkan semula oleh penunggang melalui panel meter.

Sistem brek Triumph Trident 660 juga akan memberikan prestasi yang terbaik untuk mana-mana penunggang mahupun cara tunggangan.

Ini kerana ia terdiri daripada dwi-cakera hadapan yang berukuran 310mm yang dicengkam oleh kaliper Nissin jenis dua piston, serta cakera belakang yang dicengkam oleh kaliper Nissin jenis satu piston. Sistem brek model ini juga dilengkapi dengan ABS dwi-arus.

Dari segi reka bentuk pula, Triumph Trident 660 tampil dengan gaya unggul serta unik yang menggambarkan watak British di dalam motosikal Triumph yang asli.

Untuk menarik minat penggemar motosikal British ini, sebanyak 45 aksesori yang khas ditawarkan untuk Triumph Trident 660 ini.

Jadi, tidak kiralah sama ada anda seorang penunggang yang mula berjinak dengan motosikal berkapasiti besar, mahupun seorang penunggang yang berpengalaman, model Triumph Trident 660 versi 2021 yang serba baharu akan memberikan anda kepuasan yang sepenuhnya daripada segi prestasi enjin, teknologi terbaharu, pengendalian yang lincah, serta harga yang mampu milik.

Untuk penjelasan lanjut, model Triumph Trident 660 ini direka khas oleh jurutera-jurutera yang bertempat di Hinckley, United Kingdom mengikut tradisi dan identiti motosikal sport tiga silinder sebaris yang cukup sinonim dengan jenama Triumph.

Motosikal jenama Triumph sememangnya terkenal dengan aspek pengendalian dan kawalan yang lincah serta tangkas dan Trident 660 ini tidak terkecuali.

Oleh itu, model ini dilengkapi dengan pakej suspensi yang terdiri daripada fork Showa USD-SFF (Upside-Down-Separate Function Forks) dengan julat pergerakan sebanyak 120mm, serta monoshock belakang jenis Showa dengan pelarasan pra-beban dan julat pergerakan sebanyak 133.5mm.

Teknologi memainkan peranan penting dalam spesifikasi kelengkapan Triumph Trident 660 yang tampil dengan dua mod tunggangan, kawalan cengkaman boleh laras serta pendikit ride-by-wire semuanya diberikan secara standard.

Penunggang boleh memilih mod tunggangan sama 'Road' atau 'Rain' untuk disesuaikan dengan keadaan tunggangan manakala kawalan cengkaman pula boleh ditutup dan dipasang kembali melalui pilihan dalam menu instrumen, mengikut kemahuan penunggang.

Dalam masa sama, Triumph Trident 660 ini memperkenalkan reka bentuk motosikal Triumph yang terkini dengan menggabungkan gaya tradisi Triumph yang unik serta bentuk Speed Triple yang agresif.

Jika anda sedang mencari-cari motosikal hebat pada harga yang menarik, anda boleh melawat Kedai Konsep Utama Triumph Motorcycles Malaysia yang bertempat di Petaling Jaya, atau di mana-mana cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

Berita Harian X