Selasa, 22 September 2020 | 2:19pm
Proton X50 dipercayai mampu memberikan saingan sengit kepada SUV lain dalam kategori segmen-B. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Proton X50 dipercayai mampu memberikan saingan sengit kepada SUV lain dalam kategori segmen-B. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Ciri keselamatan termaju dan reka bentuk sporty dijangka menarik minat pembeli dari segenap lapisan umur. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Ciri keselamatan termaju dan reka bentuk sporty dijangka menarik minat pembeli dari segenap lapisan umur. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Penampilan pertama paling dinantikan rakyat Malaysia

SELEPAS sekian lama menantikan kemunculan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Proton X50, akhirnya Proton Holdings Bhd (PROTON) mempertonton model paling 'dikehendaki' tahun ini kepada media di kilang pemasangan Proton di Tanjong Malim, Perak.

Proton X50 adalah model SUV kedua diperkenalkan hasil kerjasama strategik PROTON dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) selepas X70 pada 2018.

SUV segmen-B ini dibina di atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang turut digunakan oleh produk Geely dan Volvo.

Model yang diasaskan daripada model Binyue untuk pasaran di China didatangkan dengan empat varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dilengkapi enjin 1.5 liter pengecas turbo dan varian tertinggi, 1.5TGDi Flagship.

Trenkuasa Proton X50 dipadankan dengan kotak gear transmisi dwi-klac 7-kelajuan (DCT), lampu hadapan LED dan kamera undur sebagai ciri standard.

Ia turut didatangkan dengan enam beg keselamatan SRS, rim aloi 18 inci, kerusi balutan kulit dan warna dwi-tona luaran, manakala Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) generasi kedua juga ditawarkan pada varian tertinggi.

Proton X50 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan menjadi satu lagi penanda aras baharu jenama kereta tempatan.
Proton X50 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan menjadi satu lagi penanda aras baharu jenama kereta tempatan.

Lengkap ciri termaju

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta sistem bantuan pemanduan termaju yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja.

Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim.

Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara menerusi telefon pintar dengan menggunakan aplikasi PROTON Link.

Proton X50 dipercayai mampu memberikan saingan sengit kepada SUV lain dalam kategori segmen-B terutamanya tawaran harga jualan yang dijangkakan amat kompetitif.

Biarpun harga rasminya masih belum didedahkan kepada umum, namun telah tular di media sosial bahawa SUV itu mungkin ditawarkan pada harga bermula kurang daripada RM80,000.

Bakal pembeli boleh menempah Proton X50 dengan bayaran RM500 sejak 16 September lalu.

Berita Harian X