Khamis, 16 Julai 2020 | 3:02pm

Range Rover Evoque lebih mewah, menawan

Range Rover Evoque generasi kedua secara rasmi memasuki Malaysia, lengkap dengan adunan 'secukup rasa' antara reka bentuk dan praktikaliti.

Bagi pasaran domestik, Range Rover Evoque serba baharu didatangkan dengan dua varian iaitu P200 yang dijual pada harga RM426,828 dan versi tertinggi P250 R-Dynamic yang ditawarkan pada harga RM475,398.

Kedua-dua model pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin Ingenium 2.0 liter turbo empat silinder, namun ditala dengan kuasa yang berbeza.

Varian P200 menghasilkan 200 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 320 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm, manakala versi P250 pula menjana 249 PS dan tork puncak 365 Nm pada takat rpm yang sama.

Bagaimanapun, kedua-dua varian ini digandingkan dengan hanya satu pilihan kotak gear automatik sembilan kelajuan dari ZF, bersama sistem pacuan semua roda Efficient Driveline, selain dibekalkan dengan fungsi Driveline Disconnect membolehkan ia berubah kepada hanya pacuan roda hadapan untuk menjimatkan bahan api, bergantung pada keadaan.

Melihat penampilan luaran, garis badan pada Evoque baharu ini adalah kesinambungan dari model sebelumnya di mana garis bumbung yang menurun ke belakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas.

Pada bahagian belakang pula, Evoque diberikan perincian seperti Velar, bersama pembuka pintu yang boleh disorok.

Untuk pasaran Malaysia, lampu hadapan LED Premium dengan lampu tinggi automatik bersama lampu isyarat membelok sequential, serta rim aloi lima jejari 20 inci hadir sebagai ciri standard.

Teknologi baharu

Bagi varian R-Dynamic pula, ia menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, kemasan seakan liang udara pada penutup bonet, kemasan seakan tembaga, lampu kabus hadapan serta rim dengan rekaan turbin.

Walaupun dimensi Evoque baharu ini hanya sedikit lebar dan sedikit tinggi berbanding model generasi sebelum ini, ia dihasilkan dengan jarak roda 21 milimeter (mm) lebih panjang.

Ini membolehkan ruang kaki untuk penumpang belakang lebih luas, bersama ruang but yang 10 peratus lebih besar kepada 591 liter.

Menjengah ke dalam kabin, Range Rover Evoque mendapat inspirasi dari Velar dengan rekaan ringkas lengkap dengan sifat mewah, minimalis dan digital.

Antara ciri yang diberikan termasuk sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo dengan saiz 10 inci iaitu untuk infotainmen dan larasan pendingin hawa serta kenderaan.

Kelengkapan standard lain untuk bahagian dalaman termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, cermin pandang belakang auto-dimming, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3 inci, upholsteri kulit dan kemasan aluminium.

Range Rover Evoque generasi kedua secara rasmi memasuki Malaysia, lengkap dengan adunan ‘secukup rasa’ antara reka bentuk dan praktikaliti.
Range Rover Evoque generasi kedua secara rasmi memasuki Malaysia, lengkap dengan adunan ‘secukup rasa’ antara reka bentuk dan praktikaliti.

Selain itu, tempat duduk hadapan larasan berkuasa 14 hala dengan memori turut didatangkan untuk model ini selain kolum stereng larasan berkuasa, sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem bunyi Meridian 380 watt dengan 11 pembesar suara, kamera undur dan juga pintu tailgate bukaan tanpa sentuhan tangan.

Bagi varian R-Dynamic pula, ia ditambah dengan kelengkapan seperti upholsteri balutan kulit dua tona, kemasan aluminium gelap, pelapik bumbung hitam, kemasan bendul sisi krom, set pedal aluminium, lampu suasana serta sistem kamera 360 darjah.

Model varian tertinggi ini juga menerima teknologi baharu yang mula ditampilkan pada Evoque generasi baharu iaitu cermin pandang belakang digital Clear sight dan juga Clear Sight Ground View.

Range Rover Evoque serba baharu melengkapi keperluan mewah, elegan dan prestasi yang sangat memuaskan.
Berita Harian X