Khamis, 16 Julai 2020 | 2:09pm
PENAMPILAN setiap barisan model baharu Mazda tidak pernah mengecewakan.
PENAMPILAN setiap barisan model baharu Mazda tidak pernah mengecewakan.

Tahap kemampuan luar biasa CX-30

Model serba baharu Mazda CX-30 mempertaruhkan bukan sahaja imej yang menarik, namun prestasi yang ditampilkan juga amat memberangsangkan.

Sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover, model terkini keluaran Mazda ini dirasakan lebih dekat dengan jiwa pemandu muda kerana ia menitikberatkan keperluan semasa sebuah jentera.

SUV crossover yang diasaskan dari Mazda 3 ini diposisikan di tengah antara model CX-5 dan CX-3.

Bagi pasaran domestik, CX-30 ditawarkan dengan tiga varian; 2.0 G SkyActiv-G 2WD dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD yang dijanakan unit petrol, manakala model tertinggi 1.8 D High SkyActiv-D 2WD dipadankan dengan enjin diesel.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model terbaharu yang memasuki Malaysia menerusi varian 2.0 G High SkyActiv-G 2WD yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM159,109 (harga untuk tempoh pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2020).

Varian yang dijana enjin petrol 2.0 liter SkyActiv-G ini mampu menghambur kuasa 163 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 213 Nm pada 4,000 rpm, manakala kelajuan puncaknya 196 kilometer sejam (km/j).

Jentera ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, pemacu roda hadapan (2WD).

MAZDA CX-30 menampilkan gaya tersendiri dan gabungan prestasi serta reka bentuk cukup mempesona.
MAZDA CX-30 menampilkan gaya tersendiri dan gabungan prestasi serta reka bentuk cukup mempesona.

Menggunakan sistem G-Vectoring Control (GVC), ia membantu mengawal tork enjin supaya berat badan kenderaan dapat diubah kepada keadaan yang dapat membantu cengkaman.

Berdasarkan saiz badan lebih kecil, ia memberi kelebihan dari segi prestasi dan tahap responsif yang menyaksikan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD memiliki kuasa yang sentiasa mencukupi.

Ketika penulis menekan pedal minyak secara mendadak, varian ini kekal tenang walaupun memerlukan sedikit 'kerahan tenaga', namun gandingan bersama kotak gear konvensional automatik enam kelajuan disifatkan bertepatan kerana ia menghasilkan kuasa yang optimum.

Sewaktu pengambilan selekoh pula, sebagai pemandu tiada sebarang masalah yang diberikan jentera ini. Terima kasih kepada gandingan suspensi MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang membuatkan jentera ini stabil.

Ramai rakan media penulis mengatakan sistem brek ada sedikit kelemahan dan penulis sendiri mengakuinya ketika memandu uji jentera ini.

Pada kelajuan yang agak tinggi, penulis cuba menggunakan brek, namun tahap cengkamannya agak 'lambat'. Pasti perkara ini boleh diatasi Mazda pada masa depan.

Dari segi penggunaan bahan api pula, ia dianggarkan menggunakan sekitar 6.4 liter bagi setiap 100 kilometer (km) dengan kapasiti tangki minyak adalah 51 liter.

Rekaan lebih menonjol

Menyentuh mengenai reka bentuk pula, CX-30 turut menerima sentuhan rekaan terkini Kodo Soul of Motion, cuma garisan bumbungnya kelihatan lebih melunjur umpama model coupe.

Ia menjadikan SUV crossover ini lebih menarik, termasuk refleksi berbentuk S jelas kelihatan pada bahagian sisinya, merentasi pintu hadapan ke pintu penumpang belakang.

Bagi varian ini, ia turut dipadankan dengan lampu utama LED bersama pencahayaan signatur Mazda, manakala bahagian belakang juga dipadankan dengan lampu LED dan pintu tailgate berkuasa.

Ciri luaran lain yang turut ditampilkan termasuk cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, bumbung suria, sensor parkir hadapan dan belakang serta spoiler belakang.

Tidak sah jika tiada penceritaan mengenai ruang kabin bukan!. Untuk model ini hitam menjadi warna latar utamanya dengan papan pemukanya tidak begitu sarat yang disertakan paparan head unit sama seperti model baharu Mazda lain.

Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8 inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control.

Bagi aspek keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan tujuh beg udara, brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Bagi varian yang dipandu uji penulis, sedikit penambahan dalam ciri keselamatan iaitu lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan autonomi dan cruise control adaptif kawalan radar Mazda (MRCC).

Berita Harian X