Rabu, 15 Julai 2020 | 4:10pm
Myvi baharu boleh ditempah di semua bilik pameran Perodua seluruh negara - Foto ihsan Perodua
Myvi baharu boleh ditempah di semua bilik pameran Perodua seluruh negara - Foto ihsan Perodua

Myvi tampil ciri keselamatan dipertingkatkan

RAWANG: Perodua Myvi yang kini tampil dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan serta warna luaran baharu yang menarik untuk 2020, sudah boleh ditempah di semua bilik pameran Perodua seluruh negara.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebelum ini, sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) hanya terdapat pada varian 1.5 AV.

Kini, versi yang dipertingkatkan, ASA 2.0, terdapat pada varian 1.5 AV dan 1.5 H, serta ditawarkan secara pilihan pada 1.3 X dan berharga antara RM41,000 hingga RM53,000.

"Dengan pengenalan ASA 2.0, Perodua Myvi telah membawa keselamatan yang maju ke tahap baharu pada harga ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

"Myvi terkini ini juga menyaksikan Perodua terus membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat dengan menjadikannya mampu milik," tambah beliau.

Myvi itu boleh didapati dalam warna luaran baharu iaitu Electric Blue untuk semua varian sementara warna lain seperti Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey turut ditawarkan untuk semua varian kecuali model 1.3 G.

Sistem ASA yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran muncul buat kali pertama pada Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017.

Ia merangkumi amaran pra-pelanggaran (sehingga 30 km/j), brek pra-pelanggaran (sehingga 30 km/j), amaran pergerakan hadapan dan kawalan kesilapan pedal.

Berita Harian X