Rabu, 1 Julai 2020 | 12:07pm
BMW R18 First Edition.
BMW R18 First Edition.

BMW Motorrad pecah tradisi perkenal 'big-boxer' R18

KUALA LUMPUR: BMW Motorrad Malaysia memecah tradisi barisan model motosikalnya di negara ini dengan rancangan membawa masuk model premium jentera kruiser "big-boxer" ikoniknya, BMW R18.

BMW Motorrad dalam satu kenyataan berkata, R18 yang bakal dibawa masuk ke negara ini pada Oktober nanti, akan ditawar pada harga runcit atas jalan dan tanpa insurans RM156,500 seunit beserta waranti tiga tahun. Buat masa ini, ia boleh ditempah melalui platform dalam talian BMW Motorrad Malaysia.

Turut diperkenalkan adalah BMW S1000XR, motosikal kembara sport terbaharu yang ditawarkan pada harga RM121,500 seunit.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata pihaknya terus bertekad untuk membawakan pengalaman tunggangan yang terunggul di atas jalan raya dan di atas litar lumba ke negara ini.

"BMW S1000XR menaikkan lagi tanda aras yang telah dipahat dengan kelincahan dan versatiliti yang mengagumkan, di samping membuka dimensi yang baharu dalam segmen kembara sport.

"BMW R18 pula, cemerlang dalam dunianya. Kruiser boxer berkapasiti besar yang baharu ini menggabungkan ciri ikonik dalam sejarah BMW Motorrad dan memodenkan tunggangan dengan karakter megahnya yang unik," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Ketua BMW Motorrad Malaysia, Owen Riley pula berkata, berbekalkan enjin dan suspensi yang diperbaharui, BMW S1000XR cemerlang dalam prestasi berjarak jauhnya ekoran penurunan berat sebanyak 10 kilogram (kg).

Varian itu juga katanya, menampilkan sifat agresif serba sporty yang sinonim dengan barisan motosikal RR oleh BMW.

"Bagi BMW R18 yang terbaharu, deruman yang dihasilkan oleh enjin boxer dua silinder berkapasiti 1,802 cc tidak dapat ditandingi oleh yang lain. Ia adalah boxer sesaran yang tertinggi pernah dibangunkan oleh BMW, beroperasi sebagai jantung jentera kruiser ini.

"Ini adalah satu kecemerlangan dalam dunia kejuruteraan yang dinanti-nantikan dalam industri motosikal premium," katanya.

BMW S1000XR terbaharu menawarkan kepada peminat motosikal karakter yang lebih ringan, laju dan versatil sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Antara komponennya yang menarik adalah sistem ekzos serba ringan serta suspensi yang menampilkan Flex Frame, sekali gus menaik taraf aspek ergonomik varian ini secara signifikan.

BMW R18 baharu, yang tiba di Malaysia sebagai BMW R18 First Edition, adalah

kruiser BMW yang dilengkapi enjin boxer BMW dengan sesaran tertinggi, serta ciri-ciri rekaan yang bersifat abadi seperti jalur putih berkembar.

Model eksklusif itu hanya dihadkan kepada 18 unit sahaja di Malaysia.

Bagi BMW S1000XR terbaharu, ia ditampilkan dengan tata atur yang baharu pada rangka utama, pengapit tangki bahan api dan komponen tubuh di ruang tempat duduk yang menawarkan sokongan serta cengkaman lutut yang ditambah baik.

Aspek reka bentuk yang tercanggih membolehkan tahap ergonomik yang optimum dikecapi oleh varian baharu ini melalui tiga komponen utama yang diperbaharui, iaitu bar hendal, tempat duduk dan tempat letak kaki.

Menawarkan penurunan berat sebanyak 10 kg berbanding model terdahulu, S1000XR dikuasakan enjin empat silinder sebaris 999 cc dan output maksimum lebih tinggi berjumlah 121 kW / 165 hp pada paras 11,000 rpm, serta ia mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 200 km/j.

Jentera baharu ini turut hadir dengan tork maksimum berjumlah 114 Nm pada paras 9,250 rpm, ia mengguna pakai 6.0 liter bahan api bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km.

Berbanding dengan model terdahulu, gear ke-4, ke-5 dan ke-6 kini mempunyai nisbah yang lebih panjang untuk mengurangkan bunyi hingar, penggunaan bahan api dan tahap kelajuan enjin.

Di samping klac 'anti-hopping' yang lebih lancar dan bercirikan fungsi pengukuhan kendiri, BMW S 1000 XR terbaharu kini menampilkan kawalan tork seretan enjin secara elektrik (MSR) untuk mengelakkan tayar belakang tergelincir akibat penukaran kelajuan atau penukaran ke gear rendah secara mendadak.

BMW S1000XR.
BMW S1000XR.

Motosikal kembara sport terbaharu ini dilengkapi dengan empat mod tunggangan sebagai standard – Rain, Road, Dynamic dan Dynamic Pro.

Buat julung kalinya, mod Dynamic Pro boleh dikonfigurasikan sepenuhnya untuk membekalkan opsyen tetapan yang lebih besar.

BMW S 1000 XR terbaharu juga dilengkapi dengan generasi teknologi yang terkini bagi Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control atau DTC)

serta fungsi DTC Wheelie yang boleh dikonfigurasikan secara berasingan.

Untuk menaik taraf aspek keselamatan ketika membrek dalam posisi menyendeng, ABS Pro menawarkan prestasi dan keselamatan yang lebih tinggi demi kepuasan tunggangan yang ekstrem.

BMW S 1000 XR terbaharu juga merangkumi Hill Start Control Pro sebagai standard untuk menawarkan bantuan di laluan yang curam.

BMW S1000XR terbaharu menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan fungsi kawalan luncurnya dan suspensi serba baharu lagi ringan berserta dengan topang suspensi yang menampilkan Flex Frame. Rangka dan komponen lengan ayun varian baharu ini 2.1 kg lebih ringan, di samping membawakan enjin penggalas beban yang lebih menyerlah.

Lengan ayun di kedua-dua sisi juga mengurangkan berat keseluruhannya sebanyak 1.6 kg.

Bagi BMW R18, ia dilengkapi enjin boxer sesaran yang terbesar pernah dibangunkan oleh BMW.

Enjin boxer empat lejang, dua silinder yang disejukkan melalui udara/minyak, berserta dengan aci sesondol berasaskan rantai yang terletak di atas komponen aci pacuan yang menggalas kapasiti bernilai 1,802 cc ini mampu mencatat tork maksimum berjumlah 158 Nm pada paras 3000 rpm, dan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j.

BMW R18 terbaharu turut dilengkapi dengan salur masuk elektronik yang berasaskan suntikan bahan api paip berserta pembakaran pencucuh berkembar.

Kruiser baharu ini mengguna pakai bahan api berjumlah 5.6 liter bagi setiap jarak perjalanan 100 km.

Fungsi kawalan emisi disediakan melalui penukar katalitik tiga arah yang terlaras. Komponen alternator yang melengkapi BMW R 18 terbaharu hadir dalam bentuk generator magnet kekal yang dipasangkan dengan bateri bebas penyenggaraan berkapasiti 12 V/26 Ah.

Kuasa disalurkan kepada kruiser baharu ini melalui klac ringkai bercakera tunggal dengan transmisi tuil 6-gear di ruang transmisi yang berasingan.

Aci pacuan sekunder bersalut nikel pula memberi tumpuan ke atas tork. Dari segi suspensi, kruiser baharu ini hadir dengan rangka keluli bersangga kembar berserta palang bawah yang disatukan dengan skru.

Suspensi hadapan ditawarkan melalui fork teleskopik klasik, berserta dengan sarung fork dan topang suspensi kantilever dengan rendaman yang bergantung kepada pergerakan suspensi.

Sistem Pembrekan Anti-Kunci Integral BMW Motorrad (separa integral) juga disediakan untuk mencegah tayar daripada terkunci ketika membrek dengan kuat.

Kruiser baharu ini turut dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) dan ia menampilkan tiga mod tunggangan: Rock, Roll dan Rain.

BMW R18 terbaharu dipadankan dengan instrumen membulat yang dirumus khas berserta dengan paparan pelbagai fungsi. Instrumen rekaan membulat itu dengan paparan meter laju analog untuk membuahkan penampilan yang klasik.

Seperti model BMW Motorrad yang lain, sistem Tunggangan Tanpa Kunci juga menggantikan pengunci stereng pencucuh pada BMW R 18 yang terbaharu.

BMW Motorrad Malaysia juga menawarkan perkhidmatan pembiayaan iaitu

pemilikan BMW S 1000 XR terbaharu bermula daripada RM1,969.00 setiap bulan, manakala BMW R 18 First Edition terbaharu bermula daripada RM2,525.00 setiap bulan.

Ia berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh lima tahun.

Berita Harian X