X
Rabu, 10 Jun 2020 | 7:33pm
MODEL Mercedes-AMG A 35 4MATIC Hatchback pelengkap model kompak.
MODEL Mercedes-AMG A 35 4MATIC Hatchback pelengkap model kompak.

Tiga model kompak Mercedes-AMG paling progresif

MERCEDES-BENZ Malaysia membawa masuk barisan kereta kompak terbaharu ke pasaran Malaysia.

Model kompak paling menakjubkan pastinya varian hatchback 'panas' Mercedes-AMG A 35 4MATIC, A 45 4MATIC+ dan kemunculan pertama CLA 45 4MATIC+.

Bagi Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ dan CLA 45 S 4MATIC+, dua model ini dibangunkan dengan jentera 421 kuasa kuda (hp) menerusi enjin 2.0 liter pengecas turbo 4-silinder paling berkuasa di dunia.

Dari segi tork pula, model ini mampu mencecah 500 Nm. Dengan output setiap liter hingga 211 hp, enjin turbo berprestasi tinggi Mercedes-AMG baru ini mendahului banyak enjin kereta sport yang terkenal.

Jentera baru yang sangat cekap ini dihasilkan pada barisan pengeluaran inovatif di Affalterbach, berdasarkan prinsip 'One Man, One Engine'.

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kanan) dan Naib Presiden Jualan & Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Michael Jopp ketika memperkenalkan model kompak Mercedes-AMG.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kanan) dan Naib Presiden Jualan & Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Michael Jopp ketika memperkenalkan model kompak Mercedes-AMG.

MODEL kompak Mercedes-AMG baharu cetus keunggulan kejuruteraan dan rekaan terbaik dari Jerman.
MODEL kompak Mercedes-AMG baharu cetus keunggulan kejuruteraan dan rekaan terbaik dari Jerman.

MODEL Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ tampil dengan kuasa dan gaya tiada tandingan.
MODEL Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ tampil dengan kuasa dan gaya tiada tandingan.

Model kereta sport kompak baharu ini mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) masing-masing 3.9 saat untuk A 45 S 4MATIC+, manakala 4.0 saat untuk CLA 45 S 4MATIC+, selain berupaya memecut pada kelajuan maksimum 270 km/j.

Bagi A 45 S 4MATIC+, antara pembaharuan yang dilakukan terhadap unit enjin M139 ini ialah posisi mounting yang terbalik yang membolehkan manifold ekzos dan pengecas turbo kini boleh ditempatkan lebih ke belakang, sementara sistem intake pula di depan.

Ini memberikan beberapa kelebihan, terutamanya dari segi aerodinamik.

Geseran antara omboh dan silinder juga dikurangkan dengan penggunaan coating teknologi NANOSLIDE yang dipatenkan dengan penggunaan sama dapat dilihat pada enjin jentera Formula 1 Mercedes AMG Petronas Motorsport.

Aspek pemanduan dinamik pada model ini juga disumbangkan oleh sistem pacuan semua roda boleh ubah yang dikenali dengan nama AMG Torque Control pada bahagian differential baru di gandar belakang.

Ia memiliki dua klac multi cakera yang dikawal secara elektronik dan disambungkan kepada kedua-dua sisi drive shaft gandar belakang.

Ini membolehkan kuasa tidak hanya boleh dikawal antara roda depan dan belakang, tetapi juga secara terpilih antara roda kiri dan kanan di belakang secara berasingan.

Kesannya, pemanduan akan menjadi lebih stabil dengan cengkaman optimum, terutama dalam keadaan selekoh tajam dan keadaan permukaan mencabar, sekali gus mencetuskan pemanduan mengujakan menerusi mod pemanduan Drift.

Rekaan mempesona

Bagi CLA 45 S 4MATIC+, kedudukan enjin baharu ini telah diterbalikkan 180 darjah yang membolehkan bonet direka lebih rendah dan memberikan kesan aerodinamik lebih baik pada bahagian hadapan.

Ia turut menerima pengecas turbo twin scroll baharu yang kini menggunakan roller bearing pada syaf turbin bagi mengurangkan kadar geseran.

Menyentuh A 35 4MATIC, enjin yang digunakan pada model hatchback ini adalah sama dengan versi sedan iaitu 2.0 liter 4-silinder turbo yang mampu menghamburkan 306 hp dan tork 400 Nm.

Transmisi pula adalah unit AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan yang digabungkan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC yang mampu menghantar 50 peratus tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal.

Dengan fungsi Race Start, A 35 hatchback boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

Untuk bahagian brek, model ini menggunakan angkup empat piston serta cakera berliang 350 mm di hadapan, manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston dengan cakera 330 mm.

Suspensinya pula adalah unit AMG Ride Control, manakala mod pemanduan adalah Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Slippery menerusi AMG Dynamic Select.

Bagi pasaran Malaysia, A 35 4MATIC dan A 45 S 4MATIC+ didatangkan dengan pakej terhad Edition 1.

Ia merangkumi termasuk gril AMG dengan perincian perak serta bonet dengan rekaan "kubah" khas, rim aloi 19-inci AMG lima-jejari berwarna hitam dan kaliper brek merah serta ekzos berkembar yang membezakannya dengan A 35 4MATIC.

INFO:

HARGA ATAS JALAN TANPA INSURANS

* Mercedes-AMG A 35 4MATIC Edition 1 - RM379,888

* Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ Edition 1 - RM459,888

* Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ - RM448,888

Berita Harian X