Sabtu, 25 April 2020 | 5:13pm
BMW 840i Gran Coupé M Sport.
BMW 840i Gran Coupé M Sport.

'Garangnya' BMW 840i Gran Coupé M Sport

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan ahli keluarga model premium terbaharunya, BMW 840i Gran Coupé M Sport yang dilancarkan secara virtual buat pertama kali di Malaysia menerusi https://shop.bmw.com.my.

Model dalam 8 Series itu ditawarkan pada harga atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW), RM 968,800.

Dikuasakan dengan enjin TwinPower Turbo sebaris enam silinder yang berkapasiti tiga liter iaitu pertama untuk BMW 8 Series, ia mampu menghambur 340 kuasa kuda (hp) pada 5,000 rpm dan tork puncak 500Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm.

Bersandarkan kuasa padunya, BMW 840i Gran Coupé M Sport mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 250 kilometer sejam (km/j), manakala pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat – paling laju dalam segmennya.

Hadir dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan bersama padel penukar gear di stereng, BMW 840i Gran Coupé M Sport lebih unggul dengan nisbah gearnya yang luas serta jarak waktu penukaran gear yang singkat.

Enjin jentera ini turut digandingkan dengan sistem pacuan tayar belakang BMW xDrive, sementara sistem ekzos sport membekalkan akustik yang benar-benar mengagumkan.

Pemanduan dinamik ditawarkan oleh BMW 840i Gran Coupé M Sport melalui DNA sukan permotoran BMW yang menjamin tahap pengendalian terbaik, kelincahan bertaraf tinggi dan dinamik lateral.

BMW 840i Gran Coupé M Sport ini mempunyai karakteristik pemanduan yang luar biasa rentetan daripada pusat gravitinya yang rendah, badan dan casis yang kukuh serta komponen suspensi berteknologi tinggi yang disumbangkan oleh hasil kejuruteraan 'M', seperti perbezaan M Sport di gandar belakang untuk menawarkan cengkaman maksimum, Stering Aktif Integral (Integral Active Steering) untuk membekalkan kestabilan arah dan Suspensi Adaptif (Adaptive Suspension) dengan peredam yang dikawal secara elektronik.

Bumbung kaca panoramik membuahkan cahaya dan ambien terbuka yang menjadikan coupé empat pintu inijuga terasa lebih luas.

Coupé ini turut dipadankan dengan papan pemuka berkulit, tempat duduk sport elektrik dengan penyandar kepala serta ventilasi tempat duduk yang aktif untuk pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan, termasuk tempat duduk belakang yang mempunyai tetapan kerusi tunggal teracu (moulded single-seat).

Pencahayaan ambien dengan kecerahan serta spektrum warna yang boleh dilaras membantu menetapkan mood ketika memandu, sementara penyaman udara automatik empat zon memberikan keselesaan berganda. Tirai gulung (Roller sunblinds) juga ditawarkan sebagai standard.

Ruang muatan yang dibesarkan kini menyediakan kapasiti berjumlah 440 liter apabila tempat duduk belakang dilipat dalam pembahagian 40/20/40.

Perkhidmatan digital turut ditawarkan menerusi BMW Live Cockpit Professional, digandingkan dengan papar pandu (Head-Up Display) serta BMW Intelligent Personal Assistant untuk membekalkan operasi kenderaan yang lebih lancar.

Interaksi suara yang natural melalui BMW Intelligent Personal Assistant, operasi yang intuitif dengan fungsi sesentuh dan Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control) turut memberikan kemudahan dan sekuriti tambahan bagi pemandu dan penumpang.

BMW Live Cockpit Professional juga menyediakan kluster instrumen 12.3 inci yang boleh disesuaikan dan bersambung dengan Paparan Kawalan (Control Display) skrin sentuh yang bersaiz 10.25 inci.

Elemen terkini dalam sistem bantuan pemanduan juga melengkapi BMW 840i Gran Coupé M Sport menerusi BMW Personal CoPilot.

Ciri-ciri kefungsiannya merangkumi Driving Assistant Professional yang didatangkan dengan Amaran Rentas Trafik di belakang kenderaan ini dan Amaran Penukaran Laluan.

Ia turut meliputi Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) dengan fungsi Henti & Mula, Bantuan Had Kelajuan automatik, Bantuan Stering dan Kawalan Laluan, termasuk bantuan mengolah di laluan sempit dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan fungsi pembrekan (pejalan kaki dan penunggang basikal).

Di samping itu, Parking Assistant Plus yang ditawarkan sebagai standard turut merangkumi Bantuan Parkir serta sistem Paparan Keliling dengan Paparan Dari Sudut Atas, Paparan Panorama dan Paparan 3D Jarak Jauh.

Bantuan parkir lateral dan Kawalan Jarak Parkir Aktif (Active Park Distance Control) juga dibekalkan untuk membantu pemandu memarkir dalam situasi yang sukar.

Pemilik dapat menikmati Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) bersama BMW Connected Package Professional yang hadir dengan Teleservices, Panggilan Kecemasan Pintar dan Apple CarPlay untuk kemudahan dan keselesaan yang diperkayakan.

BMW 840i Gran Coupé M Sport ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange.

Warna berkenaan dapat dipadankan dengan trim kulit BMW Individual dalam pelbagai kombinasi warna premium seperti Black, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.

Berita Harian X