Isnin, 13 April 2020 | 12:15pm
Gambar fail
Gambar fail

COVID-19: Sektor automotif berdepan situasi 'amat' sukar

KUALA LUMPUR: Sektor automotif berdepan situasi ‘amat’ sukar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Sumber industri berkata, tidak hanya jualan kenderaan pada Mac dan April dijangka susut mendadak, malah pusat pengedaran juga berdepan isu aliran tunai termasuk membayar gaji pekerja yang terpaksa bercuti susulan PKP, bayaran balik pinjaman, sewa premis dan stok kenderaan yang tidak terjual.

Katanya, dalam tempoh pelaksanaan PKP fasa pertama berakhir 31 Mac lalu, lima persatuan pengedar kenderaan di Malaysia menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bantuan untuk meringankan bebanan yang perlu ditanggung akibat kesan COVID-19.

Berdasarkan memorandum yang tersebar dan dilaporkan beberapa portal berita menunjukkan lima persatuan yang mengedar jenama tempatan dan luar negara termasuk industri kenderaan terpakai mengemukakan enam cadangan.

Enam cadangan berkenaan, pertama adalah pemberian geran atau subsidi kepada syarikat pengeluar kenderaan bagi membantu kira-kira 45 syarikat pembekal kenderaan yang terjejas disebabkan PKP.

Kedua, kenaikan fi pengendalian bagi pinjaman sewa beli dari RM600 sejak 2000 kepada RM1,000 bagi meringan kos operasi yang tinggi.

Ketiga, pengecualian duti eksais sehingga Disember 2020 bagi membolehkan pembeli mengakses terus pasaran automotif selepas PKP berakhir.

Keempat, pengecualian dan pengurangan sumbangan majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Skim Keselamatan Sosial (SOCSO) dan Sistem Insurans Pekerja (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Kelima, pengstrukturan semula pinjaman perniagaan tidak dikenakan penalti oleh bank selama enam bulan atau lebih.

Keenam, penangguhan potongan cukai berjadual (PCB) dan cukai korporat bagi membantu menyuntik semula aliran tunai untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya dapat meringankan beban yang ditanggung peserta automotif tempatan,” katanya.

Sumber industri berkata, cabaran yang dihadapi peserta industri automotif sangat besar ketika penularan COVID-19 masih belum berpenghujung dan penutupan operasi disebabkan PKP akan menjejaskan perolehan.

Katanya, jualan kenderaan baharu dijangka susut mendadak 70 hingga 80 peratus dalam tempoh beberapa bukan akan datang.

“Rakan pengedar kenderaan berdepan tempoh sukar selepas kebanyakan jelajah promosi, jualan fizikal, penghantaran dan pusat servis serta penyelenggaraan terpaksa ditutup susulan PKP.

“Pusat pengedaran yang memiliki paras inventori yang tinggi juga terpaksa menanggung bayaran balik pinjaman awal yang akan mengecilkan modal mereka.

“Saya menjangkakan industri automotif tempatan berdepan krisis yang cukup besar pasca COVID-19,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, sumber berkata, nisbah pertumbuhan pemilikan kereta di negara jiran yang perlahan daripada jangkaan juga akan menjejaskan eksport model import sepenuhnya (CBU) dari Malaysia.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, kebanyakan jenama kereta menunjukkan penurunan dalam jualan. Jenama premium tidak terkecuali apabila jualan Februari susut 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X