Rabu, 18 March 2020 | 12:01pm
PROTON hentikan sementara pengeluaran di kilang Tanjung Malim dan Shah Alam
PROTON hentikan sementara pengeluaran di kilang Tanjung Malim dan Shah Alam

Pengeluar, pengedar kereta tutup sementara operasi

KUALA LUMPUR: Beberapa pengeluar dan pengedar kereta utama di Malaysia menggantung operasi di ibu pejabat, kemudahan pembuatan, pusat jualan dan servis selain premis pulih badan serta semburan cat di seluruh negara selama dua minggu.

Langkah itu adalah susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19 yang menular di dalam negara.

PROTON dalam satu kenyataan berkata, syarikat akan mematuhi arahan kerajaan dan sehubungan itu, semua aktiviti membabitkan pelanggan seperti jualan, perkhidmatan selepas jualan di semua cawangannya di seluruh negara akan dihentikan sementara waktu.

“Serentak itu, aktiviti pengeluaran di kilang PROTON Tanjung Malim dan Shah Alam juga akan dihentikan dalam usaha untuk membantu mengawal penyebaran COVID-19,” katanya.

Sementara itu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan menggantung semua operasinya di ibu pejabat, kemudahan pembuatan, pusat jualan dan servis selain premis pulih badan serta semburan cat, di seluruh negara sehingga 31 Mac ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata berikutan langkah itu, semua penghantaran kenderaan baharu, servis, baik pulih dan semburan cat dijangka dapat disambung semula selepas perintah kawalan itu ditamatkan.

“Kakitangan kami yang terbabit mungkin menghubungi pelanggan bagi memberi penjelasan. Oleh itu, kami meminta semua pihak agar bersabar dan memahami keadaan ini.

“Kami juga berharap semua rakyat Malaysia dapat akur dan mematuhi arahan kerajaan ini dan mengehadkan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 itu," katanya dalam satu kenyataan.

UMW Toyota turut mengumumkan semua pengedar sah Toyota dan Lexus akan ditutup sementara bagi mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan.

Presidennya, K Ravindran, dalam kenyataan berkata, semua pengedar masih boleh dihubungi oleh pelanggan sehingga akhir bulan ini.

Honda Malaysia dalam kenyataannya pula berkata, syarikat akan menutup operasi perniagaannya buat sementara termasuk membabitkan kilangnya di Pegoh, Melaka, pejabat jualan dan pengedaran di seluruh negara.

“Kami akan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa pada 1 April ini. Honda Malaysia akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memaklumkan sebarang kemaskini dengan sewajarnya.

“Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku pada masa ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X