Selasa, 3 March 2020 | 6:44pm

Projek kereta nasional ketiga diteruskan

KUALA LUMPUR: Projek kereta nasional ketiga yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diteruskan meskipun berlakunya pertukaran pucuk pimpinan negara ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata tiada sebarang isyarat atau laporan bahawa inisiatif dikenali sebagai Projek Kenderaan Malaysia Baharu akan dihentikan buat masa ini.

“Saya baru bermesyuarat dengan syarikat yang membangunkan projek berkenaan untuk memaklumkan tarikh Malaysia Autoshow 2020 ditunda dan mereka tiada masalah untuk mempamerkan prototaip kereta nasional baharu di acara automotif terbesar Malaysia tidak lama lagi.

“Jadi tiada sebarang maklumat atau laporan ia akan dihentikan,” katanya kepada media selepas menyampaikan taklimat prestasi automotif 2019 dan prospek 2020 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Norazman Ayob.

Madani berkata, projek kereta nasional baharu dibiayai oleh syarikat swasta dan kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020) memberikan insentif kepada projek berkenaan.

“NAP 2020 memberikan inisiatif kepada projek kereta nasional baharu dan perkara itu kekal dalam dasar itu.

“Sekiranya syarikat swasta terbabit masih mahu meneruskan projek berkenaan ia pasti diteruskan. Jika mereka mahu hentikan, tiada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Madani berkata, NAP 2020 yang diumumkan bulan lalu dijangka akan diteruskan di bawah kepimpinan baharu, memandangkan ketika dasar itu dirangka Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berada dalam kabinet sebelum ini.

“Selepas berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kami berpendapat kerajaan baharu tidak akan mengubah NAP 2020, sebaliknya meneruskan dasar automotif alaf baharu ini.

“Visi NAP 2020 sangat holistik kerana ia tidak hanya tertumpu kepada pembangunan sektor automotif domestik, malah memastikan semua menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Mengenai prospek automotif tempatan tahun ini, beliau berkata, MARii menyasarkan eksport automotif melonjak kepada RM17.2 bilion tahun ini, lebih tinggi berbanding RM15.45 bilion tahun lalu.

Katanya, sasaran eksport keseluruhan automotif tahun ini bakal disumbangkan oleh bahagian dan komponen berjumlah RM15 bilion, manakala selebihnya daripada eksport kenderaan import sepenuhnya (CBU) sebanyak RM1.5 bilion dan portfolio pengeluaran semula (RM1 bilion).

“MARii menjangkakan jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) meningkat kepada 577,348 unit tahun ini, berbanding 571,632 unit pada 2019, manakala jumlah jualan keseluruhan (TIV) juga menokok kepada 610,330 unit daripada 604,287 unit tahun sebelumnya.

“Kami turut menjangkakan pelaburan dalam sektor automotif berjumlah RM1.43 bilion dengan RM1 bilion akan disumbangkan oleh portfolio mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) seperti yang ditekankan NAP 2020,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Robotik Dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari berucap pada program ‘Automotive Industry Performance Update 2019 And Outlook In 2020’ di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Robotik Dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari berucap pada program ‘Automotive Industry Performance Update 2019 And Outlook In 2020’ di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini. - Foto BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X