Jumaat, 21 Februari 2020 | 3:45pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad.

NAP 2020: Kerajaan konsisten lonjak sektor automotif

KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) memperlihatkan konsistensi dalam dasar kerajaan untuk melonjakkan ekosistem automotif Malaysia ke peringkat seterusnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata ini dapat dilihat menerusi sokongan berterusan terhadap lokalisasi komponen yang menjadi tulang belakang kepada industri automotif negara.

Beliau berkata, sepanjang dekad yang lalu, PERODUA sudah membeli komponen berjumlah RM43.5 bilion daripada pembekal tempatan, dengan RM5.4 bilion pada tahun lalu saja.

"Tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan hampir RM6 bilion untuk membeli komponen automotif tempatan," katanya dalam satu kenyataan mengulas pengenalan NAP 2020 diumumkan kerajaan hari ini.

Beliau berkata, pembelian sejumlah itu mengekalkan dan memperkasakan ekosistem automotif Malaysia, sekali gus menyumbang kepada ekonomi, pekerjaan dan pembangunan negara.

"Turut konsisten adalah komitmen kerajaan untuk meneruskan program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang menerima pelaburan daripada banyak pemainindustri.

"PERODUA adalah pengeluar EEV pertama dan terbesar di Malaysia. Setakat ini, kami sudah menghasilkan dan menjual lebih 800,000 EEV," katanya.

Mengenai Industri 4.0, beliau berkata Perodua menyokong penggabungan teknologi, khususnya penggabungan teknologi komunikasi dengan automotif.

"Kami sudah pun membuka langkah dalam bidang ini untuk produk-produk kami.

"Mengenai teknologi autonomi, Perodua, dengan bimbingan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu Motor Company of Japan, sudah membuka langkah dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) dan paling penting, kami sudah menjadikannya mampu dimiliki orang ramai," katanya.

Beliau berkata, teknologi ini akan ditambahbaik sejajar untuk memberikan mobiliti kepada rakyat yang lebih selamat serta menawarkan nilai lebih baik.

Berita Harian X