Khamis, 16 Januari 2020 | 3:11pm
Mazda CX-30.
Mazda CX-30.

Mazda CX-30 secara rasmi masuk Malaysia

Selepas lebih sebulan media memperkatakan mengenainya dengan tempahan dibuka sejak 21 November lalu, akhirnya Bermaz Motor Sdn Bhd secara rasmi melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover, Mazda CX-30 ke pasaran tempahan.

Model yang diasaskan dari Mazda3 dan diposisikan di antara model CX-5 dan CX3 ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM143,059.

Mazda CX-30 didatangkan dengan tiga varian dan pilihan enjin petrol dan diesel.

Bagi enjin diesel, penggemar model Mazda boleh memilih enjin 2.0 liter NA menerusi dua varian iaitu 2.0 G SkyActiv-G 2WD (RM143,059) dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD (RM164,059).

Bagi enjin diesel Mazda CX-30 tampil dengan varian tunggal iaitu 1.8 D High SkyActiv-D 2WD (RM172,943.60)

Menyentuh mengenai rangkaian kuasa, untuk versi petrol, model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini menggunakan enjin 2.0 liter SkyActiv-G, yang mampu menghambur kuasa 163 PS pada 6,000 rpm dan tork puncak 213Nm pada 4,000 rpm.

Kelajuan puncak bagi model dengan kapasiti enjin 2.0 liter adalah 196 kilometer sejam (km/j).

Bagi versi diesel pula, ia hadir dengan enjin 1.8 liter SkyAvtiv-D yang mampu menjana 116 PS pada 4,000 rpm dan tork puncak 270Nm bermula 1,600 hingga 2,700 rpm dengan kelajuan tertinggi adalah 183 km/j.

Menurut Bermaz, kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, memacu roda hadapan.

Model CX-30 ini memiliki dimensi 4,395 milimeter (mm) panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm.

Seperti biasa, model terkini Mazda ini masih mengekalkan rekaan Kodo yang menjadi falsafah rekaan pengeluar dari Jepun itu.

Dari segi pencahayaan, model asas 2.0 liter didatangkan dengan lampu hadapan LED, manakala versi 2.0G High dan 1.8 diesel pula menerima lampu hadapan LED dengan pencahayaan signatur Mazda.

Sebagai ciri standard, semua varian hadir dengan operasi dan larasan aras lampu hadapan automatik dan pengelap cermin automatik, manakala versi 2.0G High dan 1.8D diberikan lampu belakang LED dengan pencahayaan signatur.

Kedua-dua model tertinggi itu juga dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pintu tailgate berkuasa serta sensor parkir hadapan dan belakang.

Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control.

Menyentuh aspek keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan 7-beg udara, brek dengan ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Namun, versi 2.0G High dan 1.8D didatangkan dengan ciri keselamatan tambahan termasuk lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan autonomi (AEB) dan kawalan radar cruise Mazda (MRCC).

Barisan Mazda CX-30 ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Polymetal Gray, Titanium Flash dan Jet Black.

Berita Harian X