Rabu, 8 Januari 2020 | 12:57pm

Perodua Bezza 2020 bermula RM34,580

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan model sedan Perodua Bezza 2020 yang ditawarkan pada harga bermula RM34,580 hingga RM49,980 seunit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata sejak tempahan dibuka pada 3 Januari lalu, Perodua Bezza menerima 2,000 tempahan.

“Secara keseluruhannya, kami menerima 10,000 tempahan yang mana 8,000 daripadanya adalah tempahan yang dibuat pada Disember untuk varian lama tetapi kami tetap akan menyerahkan Perodua Bezza 2020.

“Bagi Januari saja, PERODUA akan menyerahkan 5,600 unit Perodua Bezza 2020 kepada pelanggan yang mana penyerahan pertama bermula esok,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Perodua Bezza 2020 di sini, hari ini.

Perodua Bezza 2020 yang didatangkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT menawarkan gaya kontemporari dan teknologi keselamatan canggih dengan pakej kompak.

Model sedan keluaran PERODUA itu turut menawarkan kecekapan bahan api, kebolehpercayaan, ruang yang luas, praktikaliti, mudah dipandu dan kos pemilikan rendah.

Perodua Bezza 2020 kini tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED yang terdapat pada semua varian dan bampar hadapan rekabentuk baharu. 

Lebih menarik, semua varian menerima skirt sisi dwi-tona bersama dengan bampar belakang rekabentuk baharu dan rim aloi 10-jejari 15-inci (pada varian-varian 1.3 liter), memberikan rupa keseluruhan yang kukuh dan meyakinkan.

PERODUA Bezza model baharu iaitu Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya. - Foto BERNAMA
PERODUA Bezza model baharu iaitu Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya. - Foto BERNAMA

Memasuki ruang kabin, Perodua Bezza 2020 menampilkan kombinasi meter beriluminasi putih yang menaikkan lagi gaya sudut dalaman, selain turut disokong sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan turut terdapat pada varian-varian 1.3 liter. 

Semua varian juga didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras dan sensor undur; dengan varian AV pula menambah kamera undur dan cermin sisi yang boleh dilipat dengan menekan butang. 

Perodua Bezza 2020 tidak lengkap tanpa Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 yang ditawarkan menerusi varian AV, sekali gus menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia. 

ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal. 

Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

Dengan dua warna luaran baharu iaitu Garnet Red (bagi varian 1.3 liter saja) dan Granite Grey, pelanggan Perodua Bezza kini boleh memilih warna kegemaran termasuk empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Perodua Bezza 2020 turut didatangkan dengan jaminan lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

PENGERUSI Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Operasi Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad (dua, kiri) bergambar bersama Perodua Bezza model baharu iaitu Perodua Bezza 2020 pada majlis pelancaran kenderaan tersebut di Sentul Depot, Sentul West. - Foto BERNAMA

Perodua Bezza 2020 yang didatangkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT. - NSTP/Aswadi Alias
Perodua Bezza 2020 yang didatangkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT. - NSTP/Aswadi Alias
Perodua Bezza 2020 tidak lengkap tanpa Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 yang ditawarkan menerusi varian AV. - NSTP/Aswadi Alias
Perodua Bezza 2020 tidak lengkap tanpa Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 yang ditawarkan menerusi varian AV. - NSTP/Aswadi Alias
Perodua Bezza 2020 kini tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED yang terdapat pada semua varian dan bampar hadapan rekabentuk baharu. - NSTP/Aswadi Alias
Perodua Bezza 2020 kini tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED yang terdapat pada semua varian dan bampar hadapan rekabentuk baharu. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X