Jumaat, 3 Januari 2020 | 5:21pm
Perodua Bezza 2020.
Perodua Bezza 2020.

Tempahan Perodua Bezza 2020 dibuka

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) membuka tempahan untuk model Perodua Bezza 2020 yang akan dilancarkan secara rasmi pada 8 Januari ini.

Versi terbaharu sedan popularnya itu menawarkan rekaan, pemanduan dan keselamatan pintar.

Dibangunkan berdasarkan maklum balas pelanggan, Perodua Bezza 2020 ditawarkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 V AV, berharga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM34,580 hingga RM49,980.

Perodua Bezza 2020.
Perodua Bezza 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta nasional itu kini menerima tempahan untuk Perodua Bezza 2020 menerusi kesemua 186 pusat jualannya di seluruh negara.

“Perodua Bezza adalah sedan pertama kami dan juga sedan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia, dengan ‘upper-body’ yang direka sepenuhnya oleh kami.

Perodua Bezza 2020.
Perodua Bezza 2020.

“Ia terbukti popular dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan jualan 184,000 unit sejak pelancarannya pada Julai 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

Perodua Bezza menawarkan kecekapan bahan api, kualiti, praktikaliti, kos pemilikan rendah dan ruang dalaman yang luas di samping boleh dipercayai dan mudah dipandu – semua dalam satu pakej yang kompak dan menarik, menjadikannya kenderaan yang menepati citarasa dan diminati ramai.

Versi terkini Perodua itu tampil dengan gril hadapan dan bampar baharu, juga lampu hadapan LED dan skirt sisi dwi-tona yang kedua-duanya terdapat pada semua varian.

Perodua Bezza 2020.
Perodua Bezza 2020.

Varian X dan AV dilengkapi dengan rim aloi 15 inci manakala cermin sisi berkuasa boleh laras kini terdapat pada semua varian (boleh lipat untuk varian AV).

Dua warna luaran baharu ditawarkan bagi Bezza iaitu Garnet Red (bagi varian 1.3 liter saja) dan Granite Grey menyertai empat warna yang sedia ada iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 kini memasuki barisan Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad. - NSTP/Asyraf Hamzah
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad. - NSTP/Asyraf Hamzah

Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan, terdapat pada varian X dan AV. Semua varian didatangkan dengan sensor undur; varian AV turut menambah kamera undur.

Zainal Abidin berkata, sebagai syarikat yang mengutamakan insan, PERODUA sentiasa mendengar pendapat pelanggan untuk menambah baik produk dan perkhidmatan seperti yang direalisasikan menerusi Perodua Bezza 2020.

“Kami berharap penambahbaikan yang telah kami lakukan boleh bergabung dengan kelebihan yang sedia ada termasuk ruang bagasi seluas 508 liter dan kecekapan bahan api sehingga 22 kilometer per liter (km/l) untuk memberikan pengalaman permotoran yang anda inginkan selama ini,” katanya.

Perodua Bezza 2020 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

Harga Perodua Bezza 2020:

  • Varian 1.0 G MT (pilihan warna Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue, Sugar Brown & Granite Grey) - RM34,580
  • Varian 1.0 G AT (pilihan warna Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue, Sugar Brown & Granite Grey) - RM36,580
  • Varian 1.3 X AT (pilihan warna Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue, Sugar Brown, Granite Grey & Garnet Red) - RM43,980
  • vVarian 1.3 AV AT (pilihan warna Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue, Sugar Brown, Granite Grey & Garnet Red) - RM49,980

    Berita Harian X