Selasa, 31 Disember 2019 | 8:50am
MADANI Sahari
MADANI Sahari

2019: Satu lagi tahun pertumbuhan holistik sektor automotif

KUALA LUMPUR: 2019 menjadi satu lagi tahun pertumbuhan holistik bagi sektor automotif dengan menyaksikan lebih banyak peluang kerjaya serta perniagaan diwujudkan dan dipenuhi, demikian menurut Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Madani Sahari, berkata sektor automotif tempatan mencatatkan peningkatan eksport alat ganti dan komponen, mencecah RM12.3 bilion setakat Oktober 2019 berbanding RM12.1 bilion bagi setahun penuh 2018, malah angka itu dijangka melepasi RM13 bilion pada Disember.

“Lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan diwujudkan dalam sektor mobiliti, dengan pelancaran program MARii baharu yang menumpukan perusahaan kecil dan sederhana seperti Program Pembangunan Usahawan Teknologi serta Program Peningkatan Mobiliti-sebagai-Perkhidmatan untuk mendorong perniagaan dipacu teknologi melonjakkan pertumbuhannya ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, sebanyak 65,377 pekerjaan diwujudkan dalam tempoh yang sama berbanding sejumlah 64,839 pekerjaan pada 2018.

“Kenderaan cekap tenaga turut semakin popular di dalam pasaran Malaysia, dengan kadar penembusan pasaran sebanyak 68.08 peratus pada Oktober 2019 berbanding 62 peratus pada 2018,” katanya.

Beliau berkata, setakat September 2019, pelaburan bernilai RM5.70 bilion direalisasikan berbanding angka nilai RM1.88 bilion bagi sepanjang tempoh 2018.

Madani berkata di peringkat industri, jenama nasional Malaysia telah menyesuaikan produk mereka dengan keperluan pengguna, selain menyediakan asas kukuh untuk menguasai pasaran yang lebih luas.

“Kebangkitan semula Proton dapat dilihat sepanjang tahun ini, didorong pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 yang dilengkapi teknologi terkini dan pihak industri perlu menawarkan pada harga yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata, dengan X70 bersedia untuk memulakan operasi pemasangan tempatan tidak lama lagi, syarikat itu dijangka meneruskan pertumbuhan untuk memenuhi permintaan pasaran di negara ini.

Di samping itu, Perodua juga terus mengungguli dari segi bahagian pasaran.

Ia menawarkan banyak pilihan seperti di dalam segmen pasaran lebih tinggi kepada pengguna kali pertama, dengan teknologi antaranya brek kecemasan autonomi, kawalan kestabilan elektronik dan agihan brek elektronik.

“Penting untuk kita mengetahui bahawa Proton dan Perodua memenuhi segmen pasaran yang berbeza, sehubungan itu, perbandingan antara kedua-dua pembuat peralatan tulen ini akan menjadi satu penilaian prestasi yang bersifat tidak adil,” katanya.

Seiring dunia yang mula beralih kepada teknologi lebih canggih, infrastruktur amat diperlukan untuk menyokong pengelektrikan pengangkutan seperti stesen pengecasan yang diwujudkan di seluruh dunia untuk membolehkan akses lebih mudah kepada pengguna jalan raya.

Madani berkata, sejajar kecanggihan teknologi ini, MARii memulakan projek bas elektrik, yang membolehkan vendor tempatan menyertai mobiliti masa depan.

“Projek ini juga akan menjadi platform untuk rakyat Malaysia mengetahui dan menyesuai dengan mobiliti elektrik di samping menyebarkan kepentingan kesedaran alam sekitar seperti pengurangan jejak karbon,” katanya.

Beliau berkata, tapak uji bagi bas elektrik telah siap manakala kerja-kerja prototaip akan bermula tidak lama lagi, dengan kerjasama ahli akademik Malaysia dan syarikat pengkhususan teknologi ini.

Sementara itu, 2019 terus membuktikan penguasaan Perodua dalam industri automotif tempatan apabila ia mengekalkan kedudukan teratas dari segi jualan kenderaan.

Menurut data yang ada, Perodua menjual lebih 200,000 kenderaan setakat Oktober tahun ini, lebih dua kali ganda daripada pesaing terdekatnya, Proton yang menjual 79,423 unit bagi tempoh yang sama, diikuti Honda pada 71,489 unit.

Bagaimanapun, apabila pembuat kereta nasional itu memulakan pengeluaran pemasangan tempatan bagi X70 bulan ini, pasaran akan menjadi lebih menarik dalam jangka terdekat selain memberi saingan lebih sengit kepada penguasaan Perodua dalam pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Dr Li Chunrong berkata beliau yakin pihaknya akan mencatatkan keuntungan tahun ini.

Ia sekali gus akan menjadi keuntungan tahunan pertama Proton sejak Zhejiang Geely Holding Group dari China membeli 49.9 peratus kepentingan dalam syarikat yang mengalami kerugian itu pada 2017, menyuntik dana dan teknologi baharu untuk membantu pemulihan Proton.

Prestasi X70 sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris Malaysia juga mendorong pemegang utama Proton, DRB-Hicom Bhd, merekodkan keuntungan operasi bagi setahun penuh untuk kali pertama dalam tempoh tiga tahun pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.

Syarikat konglomerat automotif itu mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM342 juta berbanding kerugian RM817 juta pada tahun kewangan 2018, tidak termasuk geran penyelidikan dan pembangunan bernilai RM1.1 bilion pada tahun kewangan 2018.

Setakat ini, lebih 26,000 unit X70 telah terjual sejak pelancarannya pada 13 Disember tahun lalu.

Secara keseluruhan, jumlah jualan industri (TIV) bagi tempoh Januari hingga Oktober adalah 496,861 unit berbanding 502,128 unit semasa tempoh sama 2018.

Jumlah tahun lalu lebih tinggi susulan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan - antara tempoh cukai barang dan perkhidmatan berkadar sifar peratus pada 1 Jun dan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan mulai 1 September.

TIV tahun ini berada di landasan untuk mencapai 600,000 unit seperti yang diunjurkan Persatuan Automotif Malaysia.

Bagaimanapun, MARii lebih yakin dengan unjuran yang ditetapkannya iaitu TIV pada 605,000 unit dan meningkat antara 610,000 dan 615,000 unit pada 2020.

Ketika dua pembuat kereta tempatan itu terus menguasai pasaran, satu projek kereta nasional baharu juga terus mencatatkan kemajuan malah dijadualkan untuk pertama kali diperlihatkan kepada umum pada 2021.

Projek itu diumumkan pada Ogos, dan pihak tempatan DreamEdge Sdn Bhd dipilih sebagai syarikat utama untuk membangunkan projek itu bersama pembuat kereta Jepun, Daihatsu Motor Company selaku rakan kongsi teknikal.

DreamEdge berkata, ia merancang untuk menampilkan prototaip pertama pada Mac 2020.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Khairil Adri Adnan berkata model pertama projek berkenaan ialah sedan hibrid segmen C. - BERNAMA

Berita Harian X