Khamis, 24 Oktober 2019 | 7:04pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad. - NSTP/Asyraf Hamzah
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad. - NSTP/Asyraf Hamzah

PERODUA sedia kongsi kepakaran dalam kereta nasional ketiga

TOKYO: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersedia berkongsi kepakaran vendor, teknologi dan kemudahan pemasangan dengan pengeluar kereta nasional ketiga demi kepentingan pasaran automotif tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA menyokong projek pembangunan dan menerima secara positif kehadiran jenama baharu kereta nasional itu kerana ia bakal melengkapi ekosistem jenama tempatan di pasaran.

“Kami memiliki lebih 150 vendor yang memiliki keupayaan dan kemampuan untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada mana-mana pengeluar, termasuk jenama nasional ketiga.

“Daripada jumlah itu, lebih 40 peratus vendor yang kita miliki berupaya mereka bentuk dan menghasilkan komponen penting kepada sesiapa saja yang berminat. Untuk projek kereta nasional ketiga, PERODUA amat mengalu-alukan mereka untuk bekerjasama dengan vendor kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia dalam satu sesi ramah mesra bersempena Tokyo Motor Show 2019 di sini.

Terdahulu, Presiden Daihatsu Motor Co Ltd (DMC), Soichiro Okudaira menyatakan sokongan kepada permintaan kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan berhubung projek kereta nasional ketiga yang akan dibangunkan bersama DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE).

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, PERODUA turut melihat perkongsian teknologi DMC dari sudut positif dengan matlamat utamanya adalah untuk kepentingan negara.

Beliau berkata, ia selaras dengan konsep perkongsian teknologi dan kebersamaan yang sering diamalkan DMC untuk memastikan segala kebaikan dapat dikecapi semua pihak.

“Kami tiada masalah jika DMC mahu berkongsi teknologi dengan jenama kereta nasional ketiga. Kami yakin mereka boleh menangani perkara ini dengan baik. Ia bukannya sesuatu yang mengejutkan untuk saya,” katanya.

Zainal Abidin berkata, PERODUA juga bersedia berkongsi kemudahan pengeluaran dengan mana-mana syarikat termasuk pengeluar kereta nasional ketiga selagi platform yang digunakan adalah sama.

“Ini kerana, kilang PERODUA di Serendah masih memiliki kapasiti untuk mengeluarkan lebih banyak kenderaan jika ada yang berminat menggunakan kemudahan kami.

“Kapasiti pengeluaran kereta PERODUA adalah sekitar 250,000 hingga 260,000 unit setahun sedangkan kami boleh menghasilkan 320,000 unit setahun dan boleh mencecah sehingga 370,000 unit.

“Cuma, untuk pengeluaran lebih 320,000 unit, ia memerlukan pelaburan tambahan termasuk membabitkan kos buruh. Justeru, dari satu sudut kita bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja kerana ia bagus untuk perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Ogos lalu, kerajaan mengumumkan bahawa kereta nasional ketiga akan dibangunkan DreamEDGE dengan sokongan teknologi daripada DMC.

Prototaip bagi model pertamanya dijangka diumumkan Mac tahun depan dengan model yang disebut-sebut adalah kereta sedan empat pintu.

Berita Harian X